Pengiktirafan UEC untuk CLP bukan dilakukan KPM, kata Maszlee.

JOHOR BAHRU, 1 April: Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi tujuan menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) bukan dilakukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik semalam, menurut laporan Bernama.

“CLP bukan di bawah KPM, CLP adalah di bawah undang-undang. Anda tidak boleh menyuruh saya bercakap bagi pihak Peguam Negara,” – Dr Maszlee Malik

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Kursus Pengurusan dan Pentadbiran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Ketua Masyarakat Pakatan Harapan Simpang Renggam, di sini, hari ini.

Katanya lagi, perkara berkaitan UEC di bawah kementerian boleh dirujuk kepada Pasukan Petugas Dasar UEC yang ditubuhkan untuk mengemukakan maklumat dan mengemukakan syor berhubung isu pengiktirafan sijil itu

Menurut Maszlee, sidang media mengenai UEC sudah diadakan pihaknya baru-baru ini dan pihak media diminta merujuk semula kenyataan yang dibuat pada sidang media itu.

“Kita telah tubuh satu jawatankuasa khas (Pasukan Petugas Dasar UEC) dan baru-baru ini kita sudah mengadakan sidang media. Pasukan petugas ini dipengerusikan Pengasas Pusat Kajian dan Dokumentasi Pementasan Tradisional Melayu (Pusaka) Eddin Khoo Bu Eng serta dianggotai Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim dan Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China, Datuk Tan Yew Sing.”

UEC merupakan sijil yang dikeluarkan Sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia dan silibusnya tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan. Pengiktirafan UEC adalah antara janji dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

Jumaat lalu, Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LPQB) Tommy Thomas yang juga Peguam Negara mengeluarkan kenyataan bahawa kelayakan UEC pada tahap Senior Middle 3 boleh diterima sebagai memenuhi syarat kelayakan di peringkat STPM dan A-Levels bagi tujuan menduduki peperiksaan CLP.

Menurut Tommy mulai 1 Jan 2021, syarat menduduki CLP bagi pemegang sijil UEC ialah lulus sekurang-kurangnya dua mata pelajaran pada peringkat Senior Middle 3 dan memperoleh sekurang-kurangnya lima kepujian di peringkat SPM / 0-Levels / setaraf yang diperoleh dalam satu peperiksaan yang sama.

Timbalan menteri pendidikan, Teo Nie Ching, merangkap ahli parlimen DAP Kulai, pula dilaporkan gembira dengan perkembangan itu dan berterima kasih kepada peguam negara diatas pengumuman tersebut.

“Berita baik kepada pelajar UEC. 😉 . UED kini adalah setarf dengan STPM dan A Level untuk menduduki peperiksaan CLP”  – Teo Nie Ching

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.