KUALA LUMPUR 4 April – Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar akhirnya bersetuju untuk menganggotai semula jawatankuasa berkenaan setelah mengambil kira agenda reformasi akan diteruskan menerusi kepemimpinan baharu Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), lapor Utusan Malaysia.
Katanya, keputusan itu diambil setelah berbincang dengan Ketua Whip kerajaan, Datuk Johari Abdul dan mendapat kelulusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof.
“Alhamdulillah. Struktur jawatankuasa PAC yang membolehkan semak imbang berlangsung, adalah amat penting buat kepentingan negara. Saya bersetuju menganggotai PAC semula setelah berbincang dengan Ketua Whip dan mendapat kelulusan Speaker (Yang Dipertua Dewan Rakyat),” – Nurul Izzah Anwar
Nurul Izzah dilaporkan meletakkan jawatan sebagai ahli PAC pada 22 Mac lalu dan dikatakan membuat keputusan berkenaan disebabkan tidak berpuas hati dengan keputusan PM untuk mengekalkan Ronal Kiandee sebagai pengerusi PAC.
Ronald Kiandee meninggalkan UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sekaligus bercanggah dengan manifesto PH yang mengatakan pengerusi PAC hendaklah dari ahli parlimen pembangkang.
Pada perkembangan berkaitan, ahli parlimen Parit Sulong daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Noraini Ahmad sah menggantikan Ronald sebagai Pengerusi PAC.
Pengumuman itu dibuat sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sidang Dewan Rakyat sebentar tadi.
Sebelum ini Nurul Izzah menggemparkan negara apabila berkata bahawa penggal ini akan menjadi yang terakhir baginya sebagai wakil rakyat.
Akhbar Singapura, Straits Times memetik beliau meluahkan kekecewaaannya terhadap pemerintahan Pakatan Harapan yang “sangat perlahan” terhadap reformasi dan polisi.
“Saya katakan ini penggal terakhir saya. Itu rancangan saya sekarang” – Nurul Izzah.
Selain itu, bekas naib presiden PKR itu turut mengakui cabaran bekerjasama dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang satu ketika dulu merupakan seteru ayahnya.
“Bekerja dengan bekas diktator yang menyebabkan banyak kerosakan, bukan saja pada kehidupan keluarga kami, tapi juga sistem (pentadbiran negara). Ia bukan sesuatu yang mudah,” – Nurul Izzah.
Beliau dilaporkan berkata demikian kepada akhbar Singapura itu dua hari selepas meletakkan jawatan dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). – Buletin TTKM –