Keputusan iktiraf UEC hanya boleh dibuat kerajaan – PM, sanggah AG.

PETALING JAYA, 5 April- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa keputusan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) hanya boleh dibuat oleh kerajaan, menurut laporan Bernama.

Beliau berkata keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia yang dipengerusikan oleh peguam negara, Tommy Thomas bagi mengiktiraf sijil itu hanyalah pendapat mereka sahaja.

“Kalau kita nak iktiraf, kerajaanlah mesti iktiraf,” – Tun Dr Mahathir

Tommy Thomas, sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa kelayakan UEC pada tahap Senior Middle 3 boleh diterima sebagai memenuhi syarat kelayakan di peringkat STPM bagi tujuan menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) mulai 2021.

“Bagi mengelak apa-apa kekeliruan, adalah perlu ditekankan bahawa 1 Jan 2021, semua pelajar sama ada pemegang sijil UEC atau kelayakan lain yang diiktiraf, yang ingin menduduki peperiksaan CLP hendaklah memenuhi syarat 5 kepujian di peringkat SPM/O-Levels/ setaraf, dan kelulusan yang berkenaan di peringkat STPM/ UEC/A-Levels/setaraf yang diperolehi dalam 1 peperiksaan yang sama.”- Tommy Thomas

Pengumuman Tommy Thomas itu dibalas timbalan menteri pendidikan, Teo Nie Ching dengan menaikkan hantaran di laman facebooknya menyatakan kegembiraan berhubung Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC)  kini adalah setaraf dengan STPM dan A Level untuk menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman CLP.

“Good news for UEC students 😉 UEC is now equivalent to STPM and A Level for CLP examination purpose”  – Teo Nie Ching

Ahli parlimen DAP Kulai itu turut mengucapkan terima kasih kepada  peguam negara, Tommy Thomas selaku Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia yang mengumumkan perkara tersebut.

Setelah itu,  Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pula berkata perkara itu bukan diputuskan pihaknya .

“CLP bukan di bawah KPM, CLP adalah di bawah undang-undang. Anda tidak boleh menyuruh saya bercakap bagi pihak Peguam Negara,” – Dr Maszlee Malik

Kenyataan Perdana menteri ini dilihat untuk meredakan respon negatif pihak kanan dan konservatif melayu yang tidak berpuas hati dengan tindakan mengiktiraf UEC untuk menduduki CLPA, malah ia turut dikritik hebat oleh Rais Yatim.

UEC merupakan sijil yang dikeluarkan Sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia dan silibusnya tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan. Pengiktirafan UEC adalah antara janji dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

Author: Buletin TTKM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.