Pengeluaran panik TH : “Kami akan lapor polis jika ada pihak sebar khabar angin” – Pengarah Urusan TH.

Kuala Lumpur, 8 April : Pihak Lembaga Tabung Haji (TH) akan membuat laporan polis jika ada pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan khabar angin yang bertujuan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pendeposit, kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Zukri Samat .

Selain itu, TH menegaskan tidak berlaku pengeluaran luar biasa oleh pendeposit dan urusan di semua cawangan TH adalah seperti biasa.

Zukri Samat turut menafikan khabar angin yang tular menerusi media sosial dan menyifatkannya sebagai tidak berasas, lapor Bernama.

“Cawangan kami melaporkan urusan seperti biasa dan dimaklumkan bahawa cawangan-cawangan kami juga menerima caruman deposit baharu,” – Zukri Samat

Beliau mengulas akan persoalan sama ada terdapat peningkatan dalam pengeluaran berikutan pembahagian hibah yang rendah pada 1.25 peratus kepada semua pendeposit TH bagi tahun 2018.

TH juga memberi jaminan wang yang didepositkan adalah selamat dan komited untuk menjana pendapatan yang mampan bagi mengoptimumkan pulangan selain fokus membantu umat Islam menyimpan dan mempersiap diri untuk urusan haji, katanya.

Pada Jumaat lepas, Tabung Haji (TH) mengumumkan hibah tahunan bagi tahun 2018 sebanyak 1.25 peratus membabitkan agihan sebanyak RM913 juta, terendah dalam sejarah penubuhan Tabung Haji.

Atas sebab itu, terdapat desas-desus bahawa pendeposit akan mengeluarkan simpanan mereka kerana tidak yakin dengan pulangan untuk tahun berikutnya. – Buletin TTKM-

Author: Buletin TTKM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.