STATUT ROM: MENGAPA PERLU KECAM 4 AHLI AKADEMIK?

Oleh : Dr Kamarul Yusoff

Heboh jadinya bila Asheeq Ali Sethi Alivi, seorang anak muda yang bertugas dengan Karpal Singh & Co, dan 8 orang rakannya mendedahkan rumusan eksekutif kertas kerja yang dibentangkan oleh 4 ahli akademik tempatan kepada Majlis Raja-Raja pada 2 April lalu.

Mereka mempersoalkan mengapa konsultasi ini dijalankan secara sulit, tanpa diketahui rakyat jelata, dan menuduh hujah-hujah di dalam kertas kerja tersebut sungguh berat sebelah apabila ia hanya membincangkan soal mengapa Majlis Raja-Raja perlu menolak Statut Rom.

Ekoran tersiarnya pendedahan Asheeq Ali, 4 ahli akademik tempatan ini dihadapkan dengan pelbagai kecaman daripada sebahagian ahli masyarakat, antaranya oleh Ahli Parlimen DAP dari Klang, Charles Santiago, yang menyifatkan mereka sebagai “Profesor Kangkung”.

Begitu juga dengan peguam Siti Kasim yang menyifatkan mereka sebagai “pembohong” yang tidak layak menggelar diri mereka Profesor atau apa-apa gelaran lain. Mereka juga dikatakan sangat tidak cekap dan memerlukan mereka dipecat dari jawatan mereka.

Pelik sungguh pihak-pihak ini, pada satu ketika mereka kelihatan bermati-matian memperjuangkan kebebasan akademik tetapi pada ketika yang lain mereka menggelarkan pula ahli-ahli akademik yang tidak mereka setujui dengan kata-kata yang tidak baik.

Isunya di sini adalah mudah sahaja, 4 ahli akademik ini dititahkan oleh Yang Di-Pertuan Agong untuk memberikan pandangan akademik mereka kepada Baginda, jadi sebagai warganegara yang bertanggungjawab sudah tentulah mereka melakukannya.

Apatah lagi bila Yang Di-Pertuan Agong turut menitahkan Prof Emeritus Datuk Dr Shad Faruqi Saleem, yang diketahui mempunyai pandangan berbeza, untuk memberikan pandangan akademik beliau kepada Baginda pada hari yang sama, 1 April 2019.

Mengapa pula 4 ahli akademik ini yang perlu dipersalahkan bila Yang Di-Pertuan Agong, dan kemudiannya Raja-Raja Melayu pada keesokan harinya, lebih yakin dengan pandangan 4 ahli akademik ini berbanding dengan pandangan Prof Emeritus Datuk Dr Shad?

Tulisan-tulisan penuh mereka yang saya baca adalah cukup objektif, cuma jika ada pihak-pihak yang kurang bersetuju dengannya sepatutnya pihak-pihak ini datangkanlah hujah-hujah ilmiah bagi menyanggah pandangan mereka secara sihat, bukan menggelar mereka. – Buletin TTKM-


Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Buletin TTKM – Editor



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik: