Cadangan Tun tanam padi waktu malam punyai maksud tersirat, kata Salahuddin

PUTRAJAYA 3 Mei – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung penanaman padi waktu malam adalah  kata-kata yang mempunyai maksud tersirat.

Menurutnya, kenyataan itu dibuat agar rakyat dapat memikirkan cara-cara terbaik dalam memastikan kehidupan yang lebih baik.

“Saya rasa Tun bercakap dalam banyak lapis bahasa supaya kita semua lebih inovatif dan lebih memikirkan cara-cara terbaik untuk kehidupan yang lebih baik.

Saya tidak membaca kenyataan itu hanya pada literal tapi dengan cara bagaimana kita harus melihat masa depan dengan idea yang lebih inovatif dan menggunakan setiap ruang dalam hidup ini untuk maju ke depan,” –  Datuk Salahuddin Ayub 

 

Beliau berkata demikian selepas sidang media perbincangan strategik antara Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) di sini semalam.

Kelmarin, Dr Mahathir memaklumkan bakal memperkenalkan beberapa inisiatif baharu termasuk penanaman padi pada waktu malam dalam usaha membantu meringankan kerja rakyat.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu berkata mungkin buat permulaan dasar itu tidak dapat diterima semua pihak kerana ia melibatkan perubahan waktu kerja yang di luar daripada kebiasaan, lapor Bernama. 

“Memang la gelap (kerja waktu malam) tapi sekarang orang kaya boleh main golf pada waktu malam… lepas ini kita boleh tanam padi pada waktu malam, kita pasang lampu (spotlight), jadi boleh kerja dengan selesa (tanpa terik matahari), mungkin sukar terima, lama-lama biasa lah,” – Tun Dr Mahathir. 

Katanya dengan langkah itu kerajaan dapat merealisasikan konsep ‘shared prosperity’ di mana lebih ramai rakyat akan memperoleh pekerjaan dan mendapat upah dengan usaha sendiri berbanding mendapat duit percuma bagi meraih sokongan rakyat seperti amalan kerajaan terdahulu.

“Ini antara rancangan dan dasar kerajaan PH sebab kita akan tentukan ramai rakyat yang dapat kerja dan upah yang setimpal. Amat hina jika dapat upah tanpa kerja…jika sebaliknya itu lebih mulia dan lebih halal. Kalau percuma mungkin punca dari sumber yang kurang baik.

Kalau kita terima wang percuma kita akan lemah sebab bergantung kepada kerajaan. Sebaliknya kita nak ada peluang pekerjaan supaya rakyat dapat membiayai kehidupan mereka atas usaha sendiri,” Tun Dr Mahathir. 

Sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pentadbirannya berhasrat mengurangkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) secara berperingkat sebelum dihentikan sepenuhnya.

Beliau merujuk pemberian bantuan wang percuma itu sebagai tongkat.

“Kita akan kurangkan sedikit demi sedikit (BR1M) sambil menjelaskan objektif kita.

“Saya sentiasa cakap mengenai tongkat. Buanglah tongkat anda, berjalan di atas kaki sendiri, barulah anda menjadi kuat dan anda akan jadi lebih baik.

“Jika anda hanya suap rakyat, mereka akan jadi lemah,”  – Tun Dr Mahathir

Dr Mahathir dilapor menyifatkan pentadbiran kerajaan terdahulu di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak ‘memanjakan rakyat’ dengan bantuan wang tunai tanpa mereka perlu melakukan kerja.

“Najib memanjakan rakyat dengan membuatkan mereka fikir tanpa melakukan sebarang kerja, kerajaan akan berikan wang kepada mereka.

“Sekarang kita tidak boleh berikan mereka wang kerana kita tidak mencuri wang, tetapi mereka masih mahu wang (BR1M).

“Rakyat masih mahukan BR1M, mereka menjadi sangat bergantung kepada kerajaan dan ini adalah tidak baik. Mana-mana negara yang rakyatnya berasa kerajaan akan membayar wang walau tidak melakukan apa-apa, ia akan muflis,”  – Tun Dr Mahathir.

Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai satu bentuk rasuah dan ia menjadi sebab mengapa kerajaan bercadang menghapuskannya. -Buletin TTKM-

 

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.