Abang saya datang tidak dijemput, bukan mewakili saya – Syed Saddiq

Kuala Lumpur, 7 Mei : Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kehadiran abangnya, Syed Abdullah sebagai tetamu kehormat pada Grand Final sesi kelayakan e-sukan Sukan SEA peringkat kebangsaan, Sabtu lalu adalah bukan mewakili dirinya.

Syed Abdullah, abang kepada Syed Saddiq tertawa ketika memegang konsol permainan video. Gambar kredit FB Esports Malaysia. 

Jelas beliau lagi kehadiran abangnya itu juga tidak dijemput.

Beliau berkata demikian pada satu ciapan di akaun twitternya sebagai menjawab laporan Buletin TTKM semalam yang mempersoalkan sama ada abang beliau dijemput mewakili KBS. 

“Ini sangat salah kerana ia  tidak benar. ESM telah mengeluarkan kenyataan memperbetulkan perkara ini. Dia datang tak dijemput, tetapi bila dikenali diajak ke depan. Tak perlu pun sebarang  layanan istimewa.  Saya tidak akan membenarkan keluarga saya mewakli saya. Ini salah!” – Syed Saddiq.

Walaubagaimanapun, Buletin TTKM pada laporan lepas menunjukkan ‘sejarah suntingan’ di laman facebook Esports Malaysia yang jelas terpapar nama  Syed Abdullah yang hadir atas kapasiti ‘abang kepada Syed Saddiq’, menteri belia dan sukan sebagai tetamu kehormat sebelum ia dipadamkan setelah dikritik netizen.

Kehadiran Syed Abdullah yang mendapat layanan  tetamu khas pada majlis tersebut menimbulkan kritikan netizen yang mendakwa terdapat unsur nepotisme.

Pada perkembangan berkaitan, Esports Malaysia pula menjelaskan bahawa abang Syed Saddiq, Encik Syed Abdullah hadir adalah di atas kapasiti peribadi beliau sebagai peminat dan penyokong kepada pembangunan industri sukan elektronik, dan bukannya mewakili menteri belia dan sukan, Syed Saddiq atau kementeriannya. 

Penjelasan itu dibuat dalam satu kenyataan yang dinaikkan di laman facebook Esports Malaysia pagi tadi.

Kata kenyataan itu lagi, Esports Malaysia turut memandang serius mengenai tuduhan yang dilemparkan oleh masyarakat berhubung kehadiran Sdr. Syed Abdullah dan mempertikaikan layanan yang diberikan oleh kami selaku penganjur ke atas abang kepada YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia & Sukan.

Selain itu, Esports Malaysia memberikan contoh analogi menonton perlawanan bola sepak untuk menjustifikasikan tindakan mereka

Sebagai contoh, sekiranya beliau hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak, pihak penganjur pasti akan memberi penghormatan kepada beliau dan ahli keluarga lain yang hadir bagi menzahirkan sokongan kepada industri sukan tersebut. –  Esports Malaysia.

Pada masa yang sama, Esports Malaysia turut  mempertahankan menteri belia dan sukan, Syed Saddiq kerana tidak dapat hadir ke acara Grand Final tersebut.

Kami tidak berasa kecil hati meskipun YB Menteri Belia dan Sukan tidak dapat hadir ke acara Grand Final tersebut. Pasti beliau mempunyai tugasan yang lebih penting untuk didahulukan dan kami yakin, beliau sentiasa meletakkan agenda pembangunan belia & sukan negara di atas segala-galanya. – Esports Malaysia. 

Buletin TTKM mendapati Syed Saddiq tidak dapat hadir pada acara tersebut kerana berada di Muar “membuat lawatan mengejut ke Parit Jawa (bagi menyelami beberapa isu yang telah menghimpit keluarga nelayan berpuluh tahun lamanya seperti isu kecurian bot nelayan & pencerobohan bot pukat tunda.” – Buletin TTKM-

 

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Facebook
Twitter
%d bloggers like this: