Kuala Lumpur, 7 Mei : Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kehadiran abangnya, Syed Abdullah sebagai tetamu kehormat pada Grand Final sesi kelayakan e-sukan Sukan SEA peringkat kebangsaan, Sabtu lalu adalah bukan mewakili dirinya.
Jelas beliau lagi kehadiran abangnya itu juga tidak dijemput.
Beliau berkata demikian pada satu ciapan di akaun twitternya sebagai menjawab laporan Buletin TTKM semalam yang mempersoalkan sama ada abang beliau dijemput mewakili KBS.
“Ini sangat salah kerana ia tidak benar. ESM telah mengeluarkan kenyataan memperbetulkan perkara ini. Dia datang tak dijemput, tetapi bila dikenali diajak ke depan. Tak perlu pun sebarang layanan istimewa. Saya tidak akan membenarkan keluarga saya mewakli saya. Ini salah!” – Syed Saddiq.
It’s so wrong because it’s untrue😅
ESM has already come out with a statement correcting this. Dia datang tak dijemput, tetapi bila dikenali diajak ke depan. Tak perlu pun any special treatment.
Saya tidak akan membenarkan keluarga saya mewakli saya. It’s wrong!
— Syed Saddiq (@SyedSaddiq) May 7, 2019
Walaubagaimanapun, Buletin TTKM pada laporan lepas menunjukkan ‘sejarah suntingan’ di laman facebook Esports Malaysia yang jelas terpapar nama Syed Abdullah yang hadir atas kapasiti ‘abang kepada Syed Saddiq’, menteri belia dan sukan sebagai tetamu kehormat sebelum ia dipadamkan setelah dikritik netizen.
Kehadiran Syed Abdullah yang mendapat layanan tetamu khas pada majlis tersebut menimbulkan kritikan netizen yang mendakwa terdapat unsur nepotisme.
Pada perkembangan berkaitan, Esports Malaysia pula menjelaskan bahawa abang Syed Saddiq, Encik Syed Abdullah hadir adalah di atas kapasiti peribadi beliau sebagai peminat dan penyokong kepada pembangunan industri sukan elektronik, dan bukannya mewakili menteri belia dan sukan, Syed Saddiq atau kementeriannya.
Penjelasan itu dibuat dalam satu kenyataan yang dinaikkan di laman facebook Esports Malaysia pagi tadi.
Kata kenyataan itu lagi, Esports Malaysia turut memandang serius mengenai tuduhan yang dilemparkan oleh masyarakat berhubung kehadiran Sdr. Syed Abdullah dan mempertikaikan layanan yang diberikan oleh kami selaku penganjur ke atas abang kepada YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia & Sukan.
Selain itu, Esports Malaysia memberikan contoh analogi menonton perlawanan bola sepak untuk menjustifikasikan tindakan mereka
Sebagai contoh, sekiranya beliau hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak, pihak penganjur pasti akan memberi penghormatan kepada beliau dan ahli keluarga lain yang hadir bagi menzahirkan sokongan kepada industri sukan tersebut. – Esports Malaysia.
Pada masa yang sama, Esports Malaysia turut mempertahankan menteri belia dan sukan, Syed Saddiq kerana tidak dapat hadir ke acara Grand Final tersebut.
Kami tidak berasa kecil hati meskipun YB Menteri Belia dan Sukan tidak dapat hadir ke acara Grand Final tersebut. Pasti beliau mempunyai tugasan yang lebih penting untuk didahulukan dan kami yakin, beliau sentiasa meletakkan agenda pembangunan belia & sukan negara di atas segala-galanya. – Esports Malaysia.
Buletin TTKM mendapati Syed Saddiq tidak dapat hadir pada acara tersebut kerana berada di Muar “membuat lawatan mengejut ke Parit Jawa (bagi menyelami beberapa isu yang telah menghimpit keluarga nelayan berpuluh tahun lamanya seperti isu kecurian bot nelayan & pencerobohan bot pukat tunda.” – Buletin TTKM-