KENYATAAN MEDIA ESPORTS MALAYSIA

KENYATAAN MEDIA ESPORTS MALAYSIA (ESM) MENGENAI TUDUHAN MASYARAKAT KE ATAS KEHADIRAN SDR. SYED ABDULLAH BIN SYED ABDUL RAHMAN KE ACARA GRAND FINAL SESI KELAYAKAN ESPORTS SUKAN SEA PERINGKAT KEBANGSAAN.

Persatuan ini memandang serius mengenai tuduhan yang dilemparkan oleh masyarakat berhubung kehadiran Sdr. Syed Abdullah dan mempertikaikan layanan yang diberikan oleh kami selaku penganjur ke atas abang kepada YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia & Sukan.

Setelah penelitian semula dibuat, beliau (Syed Abdullah) tidak dijemput dan kehadiran beliau pada program tersebut bukanlah mewakili YB Menteri ataupun Kementerian Belia dan Sukan. Namun kehadiran beliau adalah di atas kapasiti peribadi sebagai peminat dan penyokong kepada pembangunan industri sukan elektronik.

Sebagai contoh, sekiranya beliau hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak, pihak penganjur pasti akan memberi penghormatan kepada beliau dan ahli keluarga lain yang hadir bagi menzahirkan sokongan kepada industri sukan tersebut.

Sehubungan dengan itu, kami selaku penganjur dan persatuan-persatuan eSports negeri pastinya berasa dihargai apabila ada wakil / ahli keluarga YB Menteri yang sudi hadir meluangkan masa untuk menyaksikan sendiri Sea Games Qualifier tersebut. Justeru, atas semangat menghormati YB Menteri dan Kementerian Belia & Sukan, kami menyantuni dan menghargai kehadiran Sdr. Syed Abdullah yang amat meminati eSports.

Kami tidak berasa kecil hati meskipun YB Menteri Belia dan Sukan tidak dapat hadir ke acara Grand Final tersebut. Pasti beliau mempunyai tugasan yang lebih penting untuk didahulukan dan kami yakin, beliau sentiasa meletakkan agenda pembangunan belia & sukan negara di atas segala-galanya.

Sukan adalah platform untuk menyatukan kita semua, bukan memecahbelahkan kita. Walaupun kita berlainan agama, bangsa, kita ketepikan semangat kepartian politik.

Kerana akhirnya, kita semua sama.
Kita semua adalah Rakyat Malaysia.
Yang cinta dan setia kepada Negara

ESPORTS MILIK SEMUA!


 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.