(VIDEO) Salah guna dadah: Farid Kamil didapati bersalah, dipenjara 9 bulan

PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari dihukum penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas kesalahan mengguna dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC), tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Nor Ariffin Hisham selepas Farid Kamil, 38, memilih untuk berdiam diri di mana tertuduh hari ini sepatutnya tampil untuk membela diri, menurut laporan Berita Harian.

Nor Ariffin turut memerintahkan tertuduh berada di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

“Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan mahkamah mensabitkan tertuduh bersalah,” – Nor Ariffin Hisham, Majistret.

Dalam prosiding itu, mahkamah juga tidak membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman.

Berikutan itu Farid Kamil akan dibawa ke Penjara Kajang dan hukuman penjara itu diperintah bermula tarikh sabitan iaitu hari ini.

Video TheStar:

Menurut laporan Kosmo! pula, peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid memohon mahkamah tidak mengenakan penjara dan hanya mengenakan hukuman denda kerana tertuduh merupakan penanggung utama keluarga.

“Tertuduh mempunyai seorang isteri dan dua anak yang perlu ditanggung dan bekerja sendiri sebagai pengarah dan pelakon. Sekiranya dipenjarakan tertuduh sukar untuk menanggung keluarganya,” – Megat Syazlee Mokhtarom, peguam bela.

Tambahnya, anak guamnya juga sudah mengaku salah atas satu pertuduhan pilihan iaitu memberi maklumat palsu yang melibatkan kes sama.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran memohon mahkamah mengenakan hukuman yang berat dengan mengambil kira pihak pendakwaan telah memanggil seramai lima orang saksi semasa perbicaraan.

“Mahkamah juga perlu menjatuhkan hukuman dengan mempertimbangkan faktor kepentingan awam selain mengambil kira kekerapan kes sedemikan berlaku. Jadi tidak perlu diskaun diberikan kepada tertuduh memandangkan tertuduh sebelum ini tidak membuat pengakuan bersalah” – Alia Sumayyah Amran, Timbalan Pendakwa Raya

Mengikut pertuduhan, Hero filem Lagenda Budak Setan itu didakwa menggunakan dadah berbahaya THC, iaitu ‘11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pukul 4.30 petang pada 11 Januari 2018.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – Buletin TTKM-

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.