Ucapan Tun mengenai pengurusan sisa buangan radioktif Lynas tidak dilapor, Fuziah salahkan media.

Kenyataan Media YB Hajjah Fuziah Salleh
31 Mei 2019

“UCAPAN YAB TUN DR MAHATHIR HARUS DIAMBIL MENYELURUH;
ISU PENGURUSAN SISA BUANGAN RADIOAKTIF LYNAS ISU UTAMA”

Saya mengambil masa untuk meneliti video rakaman wawancara YAB PM Tun Dr Mahathir di Jepun pada 30Mei 2019, berkenaan beberapa isu termasuk isu Lynas sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan, untuk memastikan bahawa saya memahami konteks sebenar ucapan YAB PM di dalam wawancara tersebut.
Kandungan wawancara https://livestream.com/…/28…/events/8696447/videos/191839091 adalah di rujuk.

Dari pengamatan saya, adalah di kenalpasti bahawa isu sisa buangan radioaktif Lynas turut di perkatakan dengan panjang lebar oleh YAB PM akan tetapi bahagian tersebut tidak di laporkan oleh pihak media. Sebaliknya yang di laporkan oleh pihak media hanya sebahagian dari ucapan YAB PM di dalam wawancara tersebut, yang menyebut tentang aspek pelaburan dan perlesenan sahaja, tanpa di kaitkan dengan sisa buangan radioaktif tersebut.

Pandangan saya kesemua aspek jawapan YAB PM berkenaan isu Lynas wajar di laporkan untuk memberi gambaran yang menyeluruh serta seimbang dan bukan gambaran sensasi semata.

Setakat ini belum ada jalan penyelesaian kepada isu sisa buangan radioaktif dari kilang Lynas dan adalah amat penting bahawa orang ramai tidak melupakan isu ini kerana ini merupakan isu sentral didalam keputusan perlesenan dan pengoperasian kilang Lynas dimasa hadapan.

Saya berpegang teguh kepada kenyataan YB Menteri MESSTEC yang bertanggungjawab keatas perlesenan Lynas, Yeo Bee Yin di mana beliau telah meletakkan syarat penghantaran pulang sisa radioaktif dari kilang Lynas kembali ke negara asal Australia sebagai pra syarat penyambungan lesen pengoperasian kilang Lynas. Saya juga di fahamkan bahawa YB Menteri akan pergi ke Australia pertengahan Jun 2019 untuk berunding berkenaan mengembalikan sisa buangan radioaktif dari kilang Lynas ini.

Pandangan saya rakyat Malaysia harus memberi ruang kepada beliau untuk mencari jalan merealisasikan syarat tersebut, di samping rakyat terus memberi tekanan kepada Lynas untuk bertanggung jawab terhadap sisa radioaktif mereka, tanpa sebarang kompromi. Lynas juga harus menunjukkan kesungguhan dan wajib mengotakan janji bertulis mereka kepada kerajaan Malaysia pada tahun 2012 untuk mengembalikan sisa radioaktif dari kilang Lynas ke negara asal iaitu Australia. Rakyat Malaysia pula tidak boleh tutup mata keatas kesalahan Lynas tidak mengotakan janji ini.

Kerajaan terdahulu telah menggadaikan keselamatan rakyat Malaysia dan rakyat Kuantan khususnya diatas nama keuntungan semata. Kerajaan hari ini pula terpaksa memikul beban membetulkan banyak kesilapan dan kesalahan kerajaan lepas, di mana Lynas merupakan salah satu dari kesilapan tersebut. Samada kerajaan dahulu telah tertipu dengan mempercayai naratif Lynas atau kerajaan dahulu hanya mementingkan keuntungan tanpa memikirkan keselamatan rakyat, hakikatnya tetap sama, iaitu, kerajaan hari ini perlu cari jalan penyelesaian keatas sisa buangan radioaktif tersebut.

Kerajaan hari ini, yang mana saya juga merupakan sebahagian daripadanya, wajar dapat di beri ruang oleh rakyat untuk melaksanakan tugas dengan terbaik demi merealisasikan tanggungjawab yang rumit ini, yang terhasil dari kesilapan lampau.

Hajah Fuziah Salleh
Ahli Parlimen Kuantan
31 Mei 2019

Author: Buletin TTKM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.