“Hukuman 12 bulan penjara terlalu berlebihan” – Siti Kasim

Kuala Lumpur, 1 Jun: Hukuman penjara 12 bulan yang dijatuhkan kepada penunggang motorsikal,  Danial Abdullah Tan, 31 kerana memecahkan cermin hadapan kereta dengan topi keledarnya adalah terlalu berlebihan, dakwa Siti Kasim.

Siti Kasim yang juga seorang peguam  menulis di akaun facebooknya berpendapat supaya hukuman lebih ringan  seperti membayar cermin kereta yang dirosakkan, meminta maaf kepada pengadu dan menghadiri rawatan pengurusan kawal kemarahan dijatuhkan kepada tertuduh.

“Saya faham kemarahan orang ramai tetapi saya masih merasakan ini terlalu berlebihan hukumannya.

Kadang-kadang, kita perlu memahami keadaannya.

Mungkin dia mengalami beberapa masalah dalam hidupnya, kewangan, tertekan dan sebagainya.

Saya telah berkata berkali-kali sebelum ini bahawa Majistret kita tidak boleh memenjarakan seperti memberikan kacang putih. Penjara-penjara kita sudah penuh. Meletakkan orang dalam penjara bukanlah jawapan kepada segala-galanya.

Saya fikir dengan denda, membayar kos cermin kaca yang rosak, memohon maaf kepada mangsa dan menghadiri rawatan pengurusan kemarahan akan menjadi lebih bermanfaat bagi semua pihak. “– Siti Kasim.

Hantaran Siti Kasim tersebut setakat ini mendapat 509 perkongsian.

Semalam, Majistret Nurshahira Abdul Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap Danial Abdullah Tan, 31, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah. 

Danial,31, mengaku melakukan khianat terhadap pemandu kereta Produa Alza milik Siew Chean Voon,58, di Jalan Kasturi, Seksyen 12, Taman Bukit Serdang, di sini, jam 5.30 petang, Selasa lalu.

Tertuduh yang digelar sebagai ‘abang botak’ oleh netizen hanya menundukkan kepalanya sepanjang prosiding. sambil suaranya tersekat-sekat serta menangis ketika disoal Majistret Nurshahirah.

Pemandu kereta himpit dan tunjuk jari.

 

Danial berkata, pemandu kereta itu hampir melanggarnya dua kali sehingga memaksanya menghimpit semula kereta tersebut.

“Saya himpit semula sebab nak ajak berbincang, tetapi dia telah tunjuk jari kepada saya. Itu yang menyebabkan saya bertindak sebegitu. Saya minta maaf,” – Danial Abdullah Tan

Dalam satu rakaman video berdurasi 3.01 minit yang tular kelmarin,  dua penunggang motosikal kelihatan mengambil jalan di bahagian tengah jalan sambil berbual di hadapan kereta pengadu.

Salah seorang penunggang yang dikenal pasti sebagai Danial kemudian menghentikan motosikalnya di hadapan kereta tersebut lalu memecahkan cermin kereta hadapan dengan menggunakan topi keledar.

-Buletin TTKM-

 

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.