KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menggantung sementara jawatan Penolong Setiausaha Masjid Asaadah, Kampung Bahagia, Teluk Intan kerana didakwa memberi kebenaran kepada Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming berucap di masjid itu, menurut laporan Berita Harian.
Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin, berkata penggantungan dibuat bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Peraturan 10 (2) Peraturan-peraturan Jawatankuasa Kariah Negeri Perak (2015).
Katanya, tindakan itu juga sejajar teguran Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya parti politik tidak menyalahgunakan masjid dan surau untuk aktiviti berbentuk politik kepartian terutama sepanjang Ramadan ini.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan pada 17 Mei lalu bahawa Kor Ming yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat mengadakan program berbuka puasa, menyampaikan sumbangan dan ucapan di kawasan Masjid Asaadah Kampung Bahagia.
Pada satu gambar yang dinaikkan di akaun facebooknya, Buletin TTKM mendapati Nga Kor Ming turut diiringi beberapa pembantu yang jelas kelihatan memakai baju berlogo parti DAP.
“Dilaporkan juga, sepanduk acara berkaitan dengan gambar beliau dan perkataan ‘HARAPAN’ direntang di kawasan masjid. Penemuan awal mengesahkan program ini berlangsung tanpa persetujuan dan kebenaran Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Asaadah.
“Program itu walaupun tidak dipersetujui pengerusi dan AJK masjid, namun masih diusahakan Penolong Setiausaha Masjid.
“Sebagai membantah program itu, pengerusi dan AJK masjid bertindak memulau dan tidak menghadiri acara berkenaan,” Datuk Mohd Yusop Husin
Baru-baru ini, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegur parti politik supaya tidak menyalahgunakan masjid dan surau untuk aktiviti berbentuk politik kepartian terutama sepanjang Ramadan ini.
Baginda dilaporkan menyuarakan kerisauan berhubung perkara itu dalam pertemuan bersama enam pemimpin parti politik Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Walau bagaimanapun, Nga Kor Ming berkata majlis berpuasa yang dihadiri beliau di Masjid Asaadah, Kampung Bahagia, Teluk Intan pada 17 Mei lalu tidak bersifat politik.
Katanya, beliau hadir pada program itu dengan niat murni kerana ingin membantu rakyat.
“Semasa lawatan kerja saya ke kawasan, saya menerima jemputan daripada pihak masjid untuk berbuka puasa dan memberi sumbangan kepada asnaf serta keluarga miskin.
“Demi memupuk keharmonian masyarakat dan perpaduan kaum, saya telah hadir supaya saya boleh berikan sumbangan kepada keluarga Melayu yang memerlukan bantuan.
“Aktiviti ini tidak bersifat politik dan berniat murni kerana ingin membantu rakyat. Bagaimanapun setelah menerima titah tuanku sultan, DAP telah mengeluarkan arahan kepada semua cawangan parti itu supaya menuruti titah tuanku sultan,” – Nga Kor Ming
-Buletin TTKM-