“Saya lantik sendiri Latheefa tanpa maklum kabinet” – Tun M.

PUTRAJAYA 5 Jun: : Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan pelantikan Latheefa Koya, seorang peguam sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilakukan beliau tidak dimaklumkan kepada Kabinet.

Astro Awani memetik Perdana Menteri sebagai berkata, sudah menjadi amalan biasa beliau sejak dahulu lagi untuk membuat keputusan tanpa perlu mendapatkan persetujuan jemaah Menteri.

“Saya tidak bincang dengan Kabinet. Biasanya saya buat keputusan saya sendiri sebab saya tak perlu tanya Kabinet berkenaan keputusan yang saya sendiri luluskan.

“Dia (Latheefa) jadi ketua, dia akan selidik semua kes rasuah dan perkara lain. Jika dia dapati sesuatu yang melanggar peraturan, dia akan siasat dan laporkan,” – Tun Dr Mahathir

Beliau berkata demikian kepada wartawan dalam sidang media sempena Rumah Terbuka Aidilfitri beliau bersama jemaah Menteri di Kompleks Seri Perdana di sini pada Rabu.
Tambah Dr Mahathir, beliau tidak meminta pandangan Kabinet kerana mahu bebas menilai calon dan tidak mahu kabinet mengikat beliau dalam membuat keputusan.

“Saya tak pernah tanya Kabinet. Saya tanya orang lain yang mempunyai pengetahuan tentang karakter orang ini.
“Tak perlu Kabinet buat keputusan kerana kalau Kabinet buat keputusan, ia mengikat saya. Jadi, saya bebas untuk menilai siapa yang dicadang dan dipilih,” – Tun Dr Mahathir

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull telah lama memohon untuk meninggalkan agensi itu sejak tahun lalu.

“Dia (Mohd Shukri) minta nak berhenti. Dia minta untuk letak jawatan sejak tahun lalu. Jadi saya mengambil masa agak lama untuk mencari pengganti.
“Dia kata dia telah lama memegang jawatan tersebut,” – Tun Dr Mahathir

Latheefa dilantik sebagai orang nombor satu SPRM yang baharu berkuat kuasa 1 Jun lalu menggantikan Mohd Shukri yang memilih untuk memendekkan perkhidmatan kontrak beliau lebih awal.
Kontrak Mohd Shukri sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sepatutnya berakhir pada 17 Mei 2020.

Pelantikan Latheefa Koya menerima kritikan masyarakat kerana ia bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan dan latar belakang peguam itu yang dilihat partisan. Malah, beliau juga sebelum ini merupakan anggota Majlis Pimpinan PKR dan hanya meletakkan jawatan sehari sebelum dilantik sebagai pengerusi SPRM yang baru. – Buletin TTKM-

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.