Video seks komplot jahat, kejam, fitnah untuk musnahkan karier politik saya, kata Azmin

Oleh : Azmin Ali

Saya merujuk kepada laporan media hari ini berhubung fitnah dan tuduhan
seorang individu yang cuba mengaitkan saya dalam satu video lucah. Saya
menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini yang bersifat tuduhan jahat dan
kejam.

 
Saya yakin siri fitnah ini adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi
dan keperibadian saya serta menjatuhkan saya dan memusnahkan karier
politik saya. Saya yakin kerja jijik ini telah dimulakan beberapa bulan lalu
berdasarkan perkembangan politik semasa melalui intimidasi terhadap
keselamatan diri dan keluarga pada minggu terakhir Ramadhan serta tuduhan
rasuah yang tidak benar dan tidak berasas.

 
Saya mengutuk sekeras-kerasnya gutter politics. Sesungguhnya, ia tidak
mempunyai tempat dalam era Malaysia Baharu, di mana kita sedang
berusaha untuk membina semula negara melalui reformasi institusi dan
berpegang kepada politik nilai yang luhur dan murni.

 
Saya telah mengarahkan para peguam saya untuk mengambil tindakan
undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan-tuduhan jahat serta
terhadap pelaku lain. Saya akan menggunakan segala kaedah undang-undang
yang sah untuk mendedahkan mereka yang turut terlibat dalam kerja
jahat ini.

 
Saya sama sekali tidak akan tunduk kepada tindakan-tindakan pengecut ini
dan percubaan untuk mengalihkan perhatian orang ramai dari isu-isu negara
yang lebih mendesak dan kejayaan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam
melaksanakan dasar pembangunan negara yang mampan dan inklusif.
Saya yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil segala langkah yang perlu
berhubung tuduhan jahat ini.

 
DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI
Menteri Hal Ehwal Ekonomi
12 Jun 2019

azmin statement.JPG

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.