Haziq dibawa ke IPD Dang Wangi

Wartawan berkampung di luar perkarangan IPD Dang Wangi, Gambar Berita Harian.

KUALA LUMPUR: Haziq Abdullah Abdul Aziz, individu yang mengaku sebagai lelaki dalam satu video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, petang ini menurut laporan Berita Harian.

Haziq, 27, dilihat memasuki perkarangan IPD kira-kira jam 4.30 petang menaiki kenderaan jenis Proton Preve dengan diiringi beberapa anggota polis.

Ketika berita ini ditulis, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong itu masih berada di dalam balai dipercayai untuk proses jaminan.

Peguamnya, Ramesh Sivakumar ketika ditemui Berita Harian memaklumkan belum sempat untuk bercakap dengan Haziq.

“Kita belum tahu sama ada dia akan dibebaskan atau tidak. Tunggu saya masuk dalam (balai) dulu,” – Ramesh Sivakumar

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador pada sidang media di Kangar, Perlis, memberitahu Haziq akan dibebaskan dengan jaminan polis pada petang ini, namun akan dipanggil pada bila-bila masa sekiranya perlu.

Pagi tadi, Haziq dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pemeriksaan doktor.

Semalam, Haziq ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) lebih kurang jam 5.30 petang.

Haziq ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, ketika berada di terminal pelepasan antarabangsa untuk berlepas ke Manila, Filipina.

Menurut laporan Malaysiakini, polis melakukan siasatan terhadap Haziq Abdullah Abdul Aziz, individu yang mengaku terlibat dalam skandal video lucah baru-baru ini di bawah beberapa peruntukan undang-undang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Huzir Mohamed berkata, dua daripadanya membabitkan tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan mengedarkan bahan lucah di bawah Seksyen 292 kanun yang sama.

Haziq juga disiasat di bawah Sekysen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah Keamanan.

Haziq menjadi tumpuan selepas mendakwa dirinya adalah individu dalam klip video yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sebelum ini Haziq sudah digantung tugas sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Md Akin.

Azmin Ali menafikan dirinya dikaitkan dengan video semburit tersebut dan mendakwa ia adalah komplot politik fitnah jahat yang bertujuan memusnahkan karier politiknya.

-Buletin TTKM-



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik:

Exit mobile version