Video semburit: Polis akan panggil Azmin

KANGAR 15 Jun- Polis akan memanggil Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk diambil keterangan berhubung kes video semburit yang dikaitkan antara Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu bersama Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, namun walau bagaimanapun beliau tidak memaklumkan tarikh Timbalan Presiden PKR itu akan dipanggil memberi keterangan, menurut laporan Utusan Online.

Katanya, langkah berkenaan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) biasa dalam menjalankan siasatan sesuatu kes bagi memberi keadilan kepada semua pihak.

“Kita mengambil tindakan dengan semua pihak dipanggil untuk diambil keterangan mereka. Tindakan kita amat profesional dalam memberi keadilan kepada semua pihak.

“Pada masa ini, kita belum dapat petunjuk siapa benar atau siapa salah dan beri kita waktu untuk melengkapkan siasatan kes ini. Yakinlah yang polis akan jalankan tanggungjawab secara profesional,” – Datuk Seri Abdul Hamid Bado

Sementara itu, Abdul Hamid memberitahu, Haziq Abdullah yang ditahan semalam akan dibebaskan hari ini selepas pihak polis selesai mengambil keterangan terhadapnya.

Katanya, keterangan individu tersebut amat penting memandangkan dia yang membuat tuduhan dan dakwaan dalam kes berkenaan.

“Haziq (Abdullah) dibebaskan dengan jaminan polis dan dia boleh dipanggil semula untuk diambil keterangan pada bila-bila masa,” – Datuk Seri Abdul Hamid Bado

Dalam pada itu, Abdul Hamid memberitahu, pihaknya masih menyiasat sama ada video yang tular itu tulen atau sebaliknya.

“Semua siasatan ke arah itu, sama ada tulen atau tidak. Kita juga hendak tahu sama ada individu terbabit dipaksa atau ia satu bentuk konspirasi. Semua itu akan melalui proses siasatan,” – Datuk Seri Abdul Hamid Bado

Pada perkembangan berkaitan, Haziq ketika ini berada di IPD Dang Wangi untuk proses diambil keterangan dan dijangka akan dibebaskan dengan jaminan polis.

Polis melakukan siasatan terhadap Haziq Abdullah Abdul Aziz, individu yang mengaku terlibat dalam skandal video semburit baru-baru ini di bawah beberapa peruntukan undang-undang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Huzir Mohamed berkata, dua daripadanya membabitkan tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan mengedarkan bahan lucah di bawah Seksyen 292 kanun yang sama.

Haziq juga disiasat di bawah Sekysen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah Keamanan.

Haziq menjadi tumpuan selepas mendakwa dirinya adalah individu dalam klip video yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sebelum ini Haziq sudah digantung tugas sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Md Akin.

Azmin Ali menafikan dirinya dikaitkan dengan video semburit tersebut dan mendakwa ia adalah komplot politik fitnah jahat yang bertujuan memusnahkan karier politiknya.

-Buletin TTKM-

 

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Facebook
Twitter
%d bloggers like this: