Kuala Lumpur, 17 Jun: Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Md Akin mengeluarkan kenyataan menjelaskan sebab-sebab mengapa beliau melantik Haziq Abdullah Abdul Aziz sebagai setiausaha sulit kanannya pada 15 Januari lalu.
Menurut Shamsul, Haziq mempunyai sejarah yang lama dengan PKR iaitu sejak beliau berumur 19 tahun lagi.
“Haziq mempunyai sejarah yang agak lama dengan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN). Saya difahamkan bahawa sejarah awal politik beliau adalah bermula dengan parti KEADILAN ketika beliau baru berumur 19 tahun. Saya mula mengenali Haziq sekitar tahun 2012 dimana beliau pada ketika itu beliau adalah pengasas dan presiden Mahasiswa KEADILAN Universiti Malaya sebuah sayap pelajar parti KEADILAN.” – Shamsul Iskandar Md Akin
Selain itu, Haziq juga mempunyai pengalaman kerja yang luas termasuk sebagai pelatih di pejabat menteri besar sewaktu Azmin Ali menjawat jawatan menteri besar Selangor.
“Sebelum dilantik bekerja di Kementerian Industri Utama, beliau juga pernah terlibat dengan beberapa pimpinan KEADILAN di antaranya menjadi pelatih (intern) di firma guaman YB Baru Bian, sekarang ini Menteri Kerja Raya, pelatih bersama Lawyers for Liberty (YB Sivarasa Rasiah, Puan Latheefa Koya dan N.Surendran), pelatih di Pejabat Menteri Besar Selangor YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di bawah seliaan Setiausaha Akhbar Khalid Jaafar dan pelatih di firma Yusmadi & Co. Beliau juga pernah membantu saya dalam hal-hal yang berkaitan penyelidikan parlimen dan juga merupakan penghubung kepada pemimpin-pemimpin muda di dalam KEADILAN.” Shamsul Iskandar Md Akin
Azmin Ali sebelum ini mengatakan mengenali Haziq hanya dari jauh.
Semalam, Buletin TTKM menerbitkan artikel mengenai siri ciapan Azmin Ali yang men’tag’ Haziq bagi menyangkal dakwaan pengenalan dari jauh tersebut.
BACA: Koleksi tweet Azmin tag Haziq
Berikut merupakan kenyataan penuh Shamsul Iskandar.
KENYATAAN MEDIA – ISU PELANTIKAN HAZIQ ABDULLAH BIN ABDUL AZIZ
Mengambil kira perkembangan terkini dan juga wacana di media sosial yang mengecam saya kerana menerima Haziq bekerja di Kementerian Industri Utama, saya terpanggil untuk memberikan penjelasan sekali lagi khusus berkenaan isu ini.
Haziq mempunyai sejarah yang agak lama dengan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN). Saya difahamkan bahawa sejarah awal politik beliau adalah bermula dengan parti KEADILAN ketika beliau baru berumur 19 tahun. Saya mula mengenali Haziq sekitar tahun 2012 dimana beliau pada ketika itu beliau adalah pengasas dan presiden Mahasiswa KEADILAN Universiti Malaya sebuah sayap pelajar parti KEADILAN.
Sebelum dilantik bekerja di Kementerian Industri Utama, beliau juga pernah terlibat dengan beberapa pimpinan KEADILAN di antaranya menjadi pelatih (intern) di firma guaman YB Baru Bian, sekarang ini Menteri Kerja Raya, pelatih bersama Lawyers for Liberty (YB Sivarasa Rasiah, Puan Latheefa Koya dan N.Surendran), pelatih di Pejabat Menteri Besar Selangor YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di bawah seliaan Setiausaha Akhbar Khalid Jaafar dan pelatih di firma Yusmadi & Co. Beliau juga pernah membantu saya dalam hal-hal yang berkaitan penyelidikan parlimen dan juga merupakan penghubung kepada pemimpin-pemimpin muda di dalam KEADILAN.
Haziq pernah membuat akuan bersumpah memaklumkan bahawa beliau tidak pernah menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan perkara ini telah disahkan oleh Datuk Awang Bujang Awang Antek, Setiausaha Eksekutif PBB Sarawak. Penglibatan beliau dengan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri hanyalah sebagai seorang pelatih Perdana Fellow. Saya juga difahamkan oleh Penasihat Utama KEADILAN Negeri Sarawak bahawa Haziq tidak pernah keluar dari parti KEADILAN.
Haziq mula memohon untuk bekerja di kementerian setelah Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) saya yang pertama meletakkan jawatan. Saya juga ada menerima beberapa permohonan lain untuk jawatan berkenaan. Setelah ditemuduga dan mengambilkira kelayakan akademik, pengalaman pentadbiran dan juga keperluan Kementerian Industri Utama untuk wakil daripada Sarawak dan Sabah, Haziq secara strategiknya merupakan calon yang sesuai untuk jawatan berkenaan.
Ingin sekali lagi saya tekankan bahawa tindakan beliau ini sangat mengejutkan dan tentunya sama sekali tidak diduga. Saya menyeru pihak-pihak yang membuat tohmahan tidak berasas dan fitnah liar kononnya saya mempunyai agenda tertentu dengan perlantikan Haziz agar segera menghentikan tuduhan tersebut. Saya juga tegaskan bahawa saya menolak sebarang politik kotor yang ingin mencemarkan nama baik mana-mana pemimpin ataupun individu. Berilah ruang kepada pihak berwajib untuk menyiasat isu berkenaan dan marilah kita memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang lebih utama dan menjadi kepentingan rakyat.
YB DATUK SERI SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Timbalan Menteri Industri Utama
17 Jun 2019
https://www.facebook.com/ShamsulIskandarMohdAkin/posts/10156012865347063