Saya hanya ‘kongsikan’, maaf atas salah faham- Teo.

Kenyataan Akhbar Teo Nie Ching.

1. Semalam saya telah berkongsi satu kaji selidik mengenai pandangan tentang Mata Pelajaran Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan yang sedang dilaksanakan oleh KPM di laman Facebook saya. Namun saya amat kesal kerana niat saya untuk menghebahkan usaha Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) telah disalah tafsirkan.

Status Teo di laman Facebooknya yang telah dipadamkan malam tadi setelah dikecam netizen.

2. Untuk pengetahuan semua, Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI) telah ditubuhkan di bawah MPPK Kementerian Pendidikan Malaysia dipimpin oleh Tan Sri Wan Mohd Zahid Mohd Noordin yang juga merupakan mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia. Keahlian MPPK ini telah dilantik sendiri oleh YB Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

3. MPPK merupakan satu badan bebas yang ditubuhkan bagi mengkaji Dasar Pendidikan Negara tanpa campur tangan politik. Penubuhan MPPK, sebagai satu jawatankuasa yang bersifat profesional berperanan untuk menasihati Menteri Pendidikan.

4. Saya amat sedih kerana objektif penubuhan PPKPI yang sepatutnya dipuji kerana mereka didalam usaha untuk menambahbaik modul Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan telah dipolitikkan. Tuduhan bahawa saya cuba untuk mencampuri urusan Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan adalah tidak berasas sama sekali dan secara tidak langsung merupakan satu fitnah yang menjejaskan kredibiliti MPPK.

5. Sebagai Timbalan Menteri Pendidikan, saya akan sentiasa menyokong inisiatif YB Menteri Pendidikan untuk memajukan sistem pendidikan negara. Walau bagaimanapun, saya dengan rendah hati memohon maaf kepada MPPK di atas segala salah faham yang tidak diingini ini.

𝐓𝐞𝐨 𝐍𝐢𝐞 𝐂𝐡𝐢𝐧𝐠
𝐓𝐢𝐦𝐛𝐚𝐥𝐚𝐧 𝐌𝐞𝐧𝐭𝐞𝐫𝐢 𝐏𝐞𝐧𝐝𝐢𝐝𝐢𝐤𝐚𝐧
𝐏𝐮𝐭𝐫𝐚𝐣𝐚𝐲𝐚

Author: Buletin TTKM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.