Tommy mohon tangguh kes 1MDB Najib ke Oktober

KUALA LUMPUR: Peguam Negara Tommy Thomas hari ini memohon untuk menangguhkan perbicaraan kes 1MDB melibatkan Najib Razak atas pertuduhan pengubahan wang dan salah guna kuasa ke bulan Oktober depan dari jadual asalnya yang dijangka bermula 19 Ogos ini. lapor Free Malaysia Today.

Tommy memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, ia dibuat kerana perbicaraan kes SRC International melibatkan bekas perdana menteri itu sedang berjalan.

Katanya lagi, tidak mungkin pasukan pendakwaan dalam kes SRC International dapat menyudahkan kes tersebut menjelang 15 Ogos bagi membolehkan pasukan pendakwaan kes 1MDB mengambil alih pada 19 Ogos.

“Saya mahu memberitahu mahkamah bahawa kita telah memanggil 40 orang untuk memberi keterangan setakat ini dan akan memanggil 25 lagi. Perbicaraan berjalan lebih perlahan daripada jangkaan kita,” – Tommy Thomas, Peguam Negara.

Tambahnya lagi,   perbicaraan kes 1MDB patut ditangguhkan ke 1 Oktober.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah meminta Thomas hadir semula pada 15 Julai bagi memberi kemas kini mengenai kemajuan kes SRC International.

“Anda boleh hadir semula pada 15 Julai. Jadi anda akan berada pada kedudukan lebih baik untuk bercakap tentang kemajuan (kes),” Lawrence Sequerah, Hakim Mahkamah Tinggi.

Najib berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan salah guna kuasa September lepas berkait dana 1MDB yang didakwa dimasukkan ke akaun AmBank milik beliau.

Beliau didakwa menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan rasuah sebanyak RM2.28 bilion pada Februari 2011 dan Disember 2014.

Beliau juga dikatakan memindahkan dana haram sebanyak RM2.28 bilion itu ke akuan bank beliau dan kemudiannya menggunakan wang tersebut.

Walaubagaimanapun, Najib menafikan dakwaan itu dan berkata wang tersebut sudah dipulangkan selepas 4 bulan beliau menerimanya.

Mahkamah Tinggi berasingan kini mendengar kes SRC International melibatkan Najib atas pertuduhan menyalahgunakan kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah jenayah.

Perbicaraan akan bersambung pada 1 Julai dengan bekas pengarah syarikat tersebut, Suboh Md Yassin dijangka menyambung keterangan. – Buletin TTKM-

Author: Buletin TTKM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.