Putrajaya 24 Jun : KEJADIAN pencemaran toksik di Pasir Gudang baru-baru ini sehingga menyebabkan beberapa sekolah ditutup, disahkan berpunca daripada sisa bahan kimia yang mencemari Sungai Kim Kim pada bulan Mac lalu.
Harian Metro memetik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang mengesahkan perkara tersebut sebagai berkata maklumat berkenaan diperolehi beliau daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang melakukan siasatan di kawasan berkenaan.
“Saya dapat maklumat daripada pasukan bomba iaitu kes ini adalah kes berulang dari Sungai Kim Kim. Saya difahamkan, bahan yang dikenal pasti semasa kes Sungai Kim Kim, diberikan kepada kontraktor untuk dibersihkan dan dihapuskan.
“Bagaimanapun, bahan itu masih belum dihapuskan 100 peratus. Oleh kerana bahan itu terbiar di Pasir Gudang dengan (keadaan) angin dan hujan, ia kembali merebak,”
“Ia sah bahan sisa kimia yang terdahulu dari Sungai Kim Kim,”- Zuraida Kamaruddin
Dalam pada itu, beliau berkata, justeru kerja pembersihan dan penghapusan bahan berkenaan harus dilaksanakan secepat mungkin.
Katanya, selain bomba, Jabatan Alam Sekitar dan kerajaan negeri Johor juga maklum mengenai perkara berkenaan supaya bahan itu dilupuskan serta dihapuskan dengan baik.
Sementara itu, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, kualiti udara di kawasan yang disiasat oleh pihaknya masih berada pada tahap rendah walaupun ia berada jauh dari Sungai Kim Kim.
“Pihak bomba akan bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar, pihak berkuasa tempatan serta kerajaan negeri Johor terutama sekali dengan exco yang mengambil berat mengenai perkembangan ini.
“Kita akan beri kerjasama tetapi untuk mangsa, kita terus memberi bantuan bersama pihak Kementerian Kesihatan dan saya percaya, kebanyakan daripada mangsa yang dihantar ke hospital sudah pun disahkan dalam keadaan stabil,” – Datuk Mohammad Hamdan Wahid
Sementara itu, Bernama melaporkan pelajar di lapan buah sekolah di Pasir Gudang, di sini, dipercayai turut mengalami insiden muntah dan sesak nafas, awal pagi tadi.
Antara sekolah-sekolah yang dipercayai terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort, SK Pasir Putih 1, SK Pasir Gudang 2, SK Taman Pasir Putih 1, SMK Taman Megah Ria, SK Taman Rinting 2 dan SMK Bandar Seri Alam.
Tambah Bernama lagi, usaha untuk menemu bual kakitangan dan guru terlibat tidak berjaya kerana mereka dilarang untuk memberi sebarang kenyataan.
Sejak Khamis lalu, beberapa kejadian sesak nafas, loya dan muntah, dialami kebanyakannya murid sekolah dipercayai akibat pencemaran udara di kawasan Pasir Gudang sekaligus menyebabkan kementerian bertindak menutup sekolah-sekolah berkenaan.
Pada Mac lalu, tragedi pencemaran toksik di Sungai Kim Kim akibat pembuangan sisa toksik telah menjejaskan hampir 6,000 penduduk.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin pada 19 Mac lalu telah mengumumkan bahawa kawasan di sepanjang 1.5 kilometer (km) di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor, yang tercemar akibat pembuangan sisa toksik disahkan selamat setelah 900 tan metrik bahan tercemar dibawa keluar daripada sungai terbabit. – Buletin TTKM-