July 24, 2021

Buletin TTKM

BERSANDAR FAKTA, BERCORAK SANTAI

“Lepas ini, Menteri tidak boleh letak ‘kalender kuda’ dalam pejabat sebab ada tulisan Cina?” soal SetPol Lim Kit Siang.

Oleh : Syahredzan Johan.

Saya terpanggil untuk ulas tentang sesuatu perkara yang berlegar di minda saya. Ia tentang gambar yang tersebar menunjukkan ungkapan bahasa Cina yang ditampal pada dinding dalam pejabat Menteri Kewangan, Sdr Lim Guan Eng.

Yang sinis sudah tentu akan kata saya mahu ‘bekap’ Setiausaha Agung parti saya. Saya tidak dapat lari daripada tuduhan seperti itu. Saya cuma minta anda baca dengan hati terbuka.

Saya terbaca komen dalam FB bahawa tulisan bahasa Cina dalam pejabat itu ‘macam dekat Beijing’, dan ia seperti suatu penghinaan kepada bahasa kebangsaan.

Sekejap. Mengapa ini menjadi jadi isu bahasa kebangsaan pula?

Saya anggap diri saya sebagai seorang yang ghairah mahu memartabatkan bahasa Melayu. Kalau tidak percaya, anda boleh baca tulisan-tulisan saya sebelum ini.

Tetapi saya tidak faham mengapa ini menjadi isu menghormati bahasa kebangsaan pula?

Adakah kita cuba untuk tahu apa yang ditulis dalam bahasa Cina dan ditampal pada dinding pejabat Menteri Kewangan tersebut?

Saya ada tanya, dan ungkapan-ungkapan tersebut boleh diterjemahkan secara kasar kepada :

“Bila insan tidak bersengkata dan keluarga aman, maka semua urusan perniagaan akan bawa keuntungan;
Negara yang berjaya dan makmur akan menjurus kepada kebahagiaan.”

Dalam bahasa Inggeris ianya adalah ‘Antithetical couplet’, ungkapan puisi berkembar. Biasanya digantung di dua belah pintu masuk sesebuah rumah, untuk beri ‘ong’ pada penghuni. Boleh buat carian dalam Wikipedia.

Ya, kita mungkin tidak percaya akan perkara-perkara seperti ini, dan saya pun tidak tahu sama ada Menteri Kewangan sendiri juga percaya, tetapi ini adalah sebahagian daripada budaya Cina. Pada hemat saya, beliau ingin menghiasi sedikit pejabatnya dengan puisi atau ungkapan budayanya.

Adakah kita sampai suatu peringkat di mana kita tidak boleh terima apabila Menteri berbangsa Tionghua (atau India, Kadazandusun, Iban) memperlihatkan walau secebis budaya mereka dalam pejabat mereka sendiri?

(Lepas ini, Menteri tidak boleh letak ‘kalender kuda’ dalam pejabat sebab ada tulisan Cina?)

Sejak bila budaya Cina berhenti menjadi sebahagian daripada citra negara Malaysia ini?

(Orang Cina bukan hanya tinggal di Beijing sahaja, saudara)

Ini bukan isu bahasa. Apa yang ditampal itu bukannya papan tanda dalam pejabat Menteri Kewangan. Tulisan Cina tersebut tidak diterjemahkan kepada ‘Selamat Datang ke Pejabat Menteri Kewangan Lim Guan Eng’, atau sewaktu dengannya. Ia adalah ekspresi budaya, yang dizahirkan dalam bentuk perkataan Cina.

Samalah juga kalau kita ada pejabat, kita letak ayat-ayat al-Quran. Bukan untuk tujuan rasmi, tetapi kerana ia sebahagian daripada identiti kita dan kita mahu mendapat ketenangan daripada ayat-ayat tersebut.

(Dalam pejabat Menteri Kewangan juga ada petikan daripada surah al-Hud http://theexpressviral.com/ini-sebabnya-kenapa-terdapat-ga…/)

Ya. Bahasa kebangsaan mesti digunakan dalam semua urusan rasmi. Ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini tidak boleh dipertikaikan. Tetapi ini bukan isu bahasa.

Menampal ungkapan Cina untuk bawa kemakmuran dalam pejabat tidak ada kena mengena dengan urusan rasmi yang diwajibkan menggunakan bahasa kebangsaan.

Bahasa Melayu tidak tergadai, terjejas atau diperlekehkan hanya kerana Lim Guan Eng mahu hias sedikit pejabatnya dengan hiasan budaya Cina.

sumber :


Syahredzan Johan merupakan setiausaha politik kepada Lim Kit Siang. Tulisan ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mewakili pendirian Buletin TTKM – Editor


RSS
Follow by Email
%d bloggers like this: