Bar ribbon: “Kes rasuah prioriti saya, bukan butiran pemakaian seragam” – Latheefa Koya

KENYATAAN MEDIA SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

SEBUAH parti politik telah menimbulkan beberapa persoalan berkenaan butiran pada pakaian seragam saya selaku Ketua Pesuruhjaya, yang kini saya akan perjelaskan seperti di bawah. Pertamanya, bar ribbon yang dikepilkan ke atas saya adalah berdasarkan Perintah Tetap Ketua Pesuruhjaya SPRM Bab A (Dasar), Bil 1 Tahun 2012, yang telah mengarahkan bahawa seseorang Ketua Pesuruhjaya berdasarkan jawatannya dikehendaki memakai bar ribbon seperti yang disenaraikan.

Walaupun pada asasnya ianya adalah betul dan boleh diterima, namun terdapat sedikit kekhilafan dalam bar ribbon yang kini telah pun diperbetulkan.

Keduanya, saya tidak memakai pingat sebagaimana yang diperkatakan oleh beberapa pihak. Bar Ribbon ini tidak harus dikelirukan dengan pingat atau darjah kebesaran yang dikurniakan dari pihak Istana, samada di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat Negeri.

Butiran lain di atas baju seragam saya adalah lencana-lencana pangkat yang saya dikehendaki memakai sebagai Ketua Pesuruhjaya dan adalah berdasarkan perintah tetap.

Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah menunjukkan minat yang tinggi terhadap pakaian seragam saya.

Secara telus saya mengaku, saya baru sahaja mempelajari berkenaan lencana pangkat, bar ribbon dan pemakaian seragam.

Prioriti segera saya sejak mengambil alih tugas adalah melibatkan beberapa kes rasuah yang serius dan bukanlah butiran pemakaian seragam saya.

LATHEEFA KOYA
KETUA PESURUHJAYA SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA PUTRAJAYA 29 JUN 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.