U-turn lagi: Kula batalkan cadangan bawa masuk pekerja Afrika.

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, mengesahkan cadangan untuk membawa masuk pekerja asing dari Afrika ke Malaysia, tidak akan diteruskan.

Berita Harian memetik Kulasegaran sebagai berkata kenyataannya sebelum ini mengenai cadangan mengambil pekerja dari Afrika sebenarnya dilapor di luar konteks dan disalah tafsir.

Beliau menjelaskan pemilik ladang membuat aduan kepadanya dalam satu pertemuan di Cameron Highlands pada Jumaat lalu mengenai kekurangan tenaga pekerja di ladang kelapa sawit.

“Untuk menampung kekurangan buruh, pemilik ladang mencadangkan agar kerajaan menimbang untuk mengambil pekerja dari Afrika, terutama dari negara di mana Malaysia mempunyai pelaburan dalam sektor gas asli dan petroleum.

“Cadangan itu boleh difahami selepas mengambil kira kekurangan buruh di ladang serta hakikat bahawa kita memang melabur di Afrika.

“Dalam konteks inilah pada sesi dialog itu, saya menimbulkan idea bahawa kerajaan mungkin perlu melihat ke arah Afrika untuk menampung kekurangan tenaga kerja di ladang di Malaysia,”  – Kulasegaran.

Beliau berkata peladang merungut menanggung kerugian kerana pekerja dari Bangladesh, Myanmar dan Indonesia kini tidak lagi berminat bekerja di ladang sawit.

“Dikatakan industri perladangan kerugian kira-kira RM10 bilion setahun apabila buah kelapa sawit tidak dapat dituai kerana kekurangan pekerja,” -Kulasegaran.

Jumaat lalu, Kulasegaran ketika ditemui pemberita selepas sesi dialog bersama Menteri Sumber Manusia dengan peladang Cameron Highlands, menyatakan kerajaan bersedia mempertimbangkan cadangan untuk membawa masuk pekerja asing dari Afrika berikutan masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan yang semakin meruncing.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan duta negara Afrika baru-baru ini dan mereka akan mendapatkan pandangan daripada kerajaan di negara itu mengenai perkara berkenaan.

“Ini satu permulaan dan kita akan melihat kesesuaian (pekerja asing dari negara Afrika) kerana pihak kementerian ada menerima permintaan daripada majikan yang mahukan pekerja dari negara itu untuk bekerja dalam sektor perladangan,” – Kulasegaran.

Cadangan membawa masuk pekerja Afrika itu mendapat kritikan segenap lapisan masyarakat.

Tahun lepas, Kulasegaran melakukan pusingan-U apabila beliau berkata semua pengusaha restoran di negara ini hanya mengambil tukang masak tempatan untuk bekerja bermula 1 Julai. Tegasnya, semua pengusaha akan diberi masa sehingga hujung tahun ini untuk mematuhi syarat tersebut.

Kenyataannya itu mencetuskan kritikan pelbagai pihak khususnya para netizen di laman sosial dan beberapa persatuan pengusaha makanan sehinggakan beliau kemudian berkata perkara itu cuma cadangan. – Buletin TTKM-



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik: