Pasir Gudang, 2 Julai : Tidak sampai beberapa jam selepas Buletin TTKM menaikkan berita “No action, talk only!” : Menteri Alam Sekitar dan pengusaha kilang dimaki bapa mangsa. kami dihubungi likers TTKM menunjukkan video keadaan anak mangsa terbabit.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Tiada yang dapat menggambarkan kesedihan kami selain air mata mengalir deras ketika menonton video terbabit.
Menurut dua video yang dimuat naik pada tiga bulan lalu itu, menunjukkan mangsa, adik Irfan Wafi, 12 tahun kelihatan agak sukar untuk berjalan kesan dari pencemaran toksik dari Sungai Kim Kim.
Pada video kedua pula, kelihatan adik Irfan tidak dapat berdiri dengan stabil dan terketar-ketar ketika menunaikan solat dan terpaksa duduk di kerusi untuk menunaikan kewajipan kedua rukun islam itu.
Buletin TTKM menghubungi bapa mangsa, Idham Wazir untuk penjelasan lanjut.
Menurutnya, pada tiga bulan lepas, Irfan merupakan mangsa yang paling lama dimasukkan ke wad iaitu selama 10 hari dan sehingga kini Irfan terpaksa telah berulang alik ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan.
Hal demikian sedikit sebanyak telah menjejaskan pembelajaran Irfan di Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang yang akan menduduki UPSR pada bulan 9 ini.
Kos rawatan juga menurut Idham, ditanggung sepenuhnya oleh beliau.
Adik Irfan Wafi bersama ayahnya pada tahun lepas, kredit foto FB Idham Wazir.
Beliau turut mengesahkan penyakit “Myo-Kimia” yang dihidapi oleh anaknya itu adalah kesan dari pencemaran toksik dari Sungai Kim Kim.
Beliau turut menjelaskan insiden semalam di mana beliau terjah dan melepaskan marah ketika sesi townhall bersama menteri alam sekitar dan pengusaha kilang. Katanya perkara itu adalah kerana tiada pembelaan diberikan oleh pihak kerajaan bukan sahaja kepada anak beliau, tetapi terhadap beratus-ratus mangsa Sungai Kim Kim yang lain.
“Saya harap ia akan berlaku pada keluarga anda kelak. Dia akan mengambil UPSR bulan 9 . Sekarang, dalam masa beberapa bulan sekolah cuma buka 2 hari sahaja. Dan beliau merupakan pelajar terbaik.
Jika anda semua tidak serius mengenai perkara ini, apa akan jadi kepada anak-anak anda. Mungkin ia tidak melibatkan anak anda, keluarga anda. Duit bukan keluar dari poket anda. Duit poket saya yang keluar untuk hantar ke hospital…
Jika perlu tutup kilang anda, jadi tutuplah kilang anda! Nyawa lagi penting! Saya kecewalah! NATO.: No action Talk Only. Dah tiga bulan dah benda ni. .. Ambil seriuslah!” – Idham Wazir
Tidak mahu menyerah kalah, Idham berkata ketika ini beliau dan puluhan lagi ibu bapa mangsa dalam proses untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kilang, Jabatan Alam Sekitar , Jabatan Pengairan dan Saliran serta Majlis Perbandaran Pasir Gudang bagi mendapatkan keadilan sewajarnya.
Sejak 11 hari lepas, gelombang kedua pencemaran di PAsir Gudang telah menyebabkan puluhan pelajar dimasukkan ke hospital dan setakat ini kerajaan masih tidak dapat mengenal pasti punca kejadian itu. – Buletin TTKM-