July 29, 2021

Buletin TTKM

BERSANDAR FAKTA, BERCORAK SANTAI

Kes Pasir Gudang kemungkinan besar adalah histeria besar-besaran – Datuk Dr Looi

Pasir Gudang, 3 Julai: Kes pencemaran toksik di Pasir Gudang, Johor kemungkinan besarnya adalah kes histeria secara besar-besaran kerana tiada yang terkesan kecuali murid sekolah perempuan, dakwa Datuk Dr Looi Hoong Wah.

Beliau yang juga merupakan seorang fellow di Akademi Perubatan Malaysia berkata histeria besar-besaran di kalangan murid perempuan adalah perkara biasa dan boleh menjadi  lebih sukar dengan hyperventilasi,  tangisan, sawan dan bahkan kehilangan kesedaran.

“Fenomena ini lebih biasa di persekitaran yang terkurung dan atmosfera yang menekan yang selalu dihadapi oleh kanak-kanak sekolah. Ia tidak mengancam nyawa, kecuali jika sawan berlaku kerana ia akan menyebabkan saluran pernafasan tersumbat” – Datuk Dr Looi Hoong Wah.

Beliau berkata demikian semalam dalam satu surat yang disiarkan di akhbar NSTP.

Pada perkembangan berlainan, Profesor Kejuruteraan Kimia, Jabatan Kejuruteraan Kimia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Ir Dr Wan Ramli Wan Daud, berkata kerajaan menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) perlu mengeluarkan arahan menghentikan sementara operasi semua kilang dan loji kimia, lapor Berita Harian.

Beliau yang juga bekas Perunding Penilaian Risiko Kuantitatif (QRA) untuk Industri Minyak, Gas dan Petrokimia berkata ia adalah satu-satunya cara untuk menghentikan kejadian insiden keracunan gas daripada berulang.

“Ini adalah satu-satunya cara untuk menghentikan kejadian keracunan gas di Pasir Gudang daripada terus berulang. JAS dan JKKP perlu memeriksa rekod pembuangan bahan kimia di setiap kilang untuk menentukan dalang yang bertanggungjawab terhadap insiden terbabit,” – Prof Datuk Ir Dr Wan Ramli Wan Daud

Gelombang kedua pencemaran udara toksik di Pasir Gudang telah masuk hampir dua minggu dan punca kejadian tersebut masih belum dapat dikenal pasti kerajaan.

– Buletin TTKM-

RSS
Follow by Email
%d bloggers like this: