GOPENG, 6 Julai: Tiada bukti yang menunjukkan insiden pencemaran toksik di Sungai Kim Km pada bulan Mac lalu adalah penyebab kepada myokymia yang dihidapi oleh adik Irfan Wafiy.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye dipetik oleh The Star sebagai berkata pemeriksaan latar belakang kanak-kanak berusia 12 tahun itu menunjukkan beliau lahir tidak cukup bulan dan mempunyai sejarah kesihatan sejak berumur 4 tahun.
“Beliau diperiksa oleh pakar kaji saraf paediatrik. Tiada bukti setakat ini yang menunjukkan ia dikaitkan dengan insiden (pencemaran sungai Kim Kim)” – Dr Lee Boon Chye
Tambah beliau lagi, ada beberapa penyebab lain yang membawa kepada penyakit tersebut.
“Kami tahu myokymia adalah penyakit yang boleh disebabkan oleh kanser otak, jangkitan otak atau kecederaan” – Dr Lee Boon Chye
Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas merasmikan program celik kansier payudara di sini hari ini.
Irfan Wafiy yang juga anak keempat daripada lima beradik, disahkan menghidap Myokymia, iaitu penyakit seakan-akan Parkinson.
Ayahnya, Idham Wazir berkata penyakit yang menimpa Irfan bermula sejak dia dimasukkan ke dalam wad di Hospital Sultan Ismail, Johor Bharu selama 10 hari selepas mengalami kesukaran bernafas dipercayai terhidu gas toksik dari pencemaran Sungai Kim Kim.
Beberapa hari lalu, Idham menerjah sesi town hall yang dihadiri menteri Alam Sekitar, Yeo Bee Yin dan meluahkan rasa marah beliau di atas kejadian yang menimpa anaknya kerana tiada pembelaaan dari pihak berwajib.
Beliau berkata akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa pihak yang bertanggung jawab menyebabkan penyakit tersebut dihidapi oleh anaknya– Buletin TTKM-