PASIR GUDANG 7 Julai- Keluarga adik Irfan Wafiy, 12 yang menghidap myokymia dipercayai akibat pencemaran Sungai Kim Kim, Mac lalu akan menfailkan saman di Mahkamah Tinggi, Johor Bahru pada 17 Julai ini, menurut laporan Sinar Harian.
Kanak-kanak tersebut didakwa tidak pernah mengalami penyakit berkenaan sebelum kejadian insiden pembuangan bahan kimia di sungai berkenaan.
Peguamnya, Kamarudin Ahmad berkata, saman yang difailkan adalah melibatkan tuntutan ganti rugi atas keadaan kesihatan dialami murid darjah enam itu bernilai RM5 juta.
“Kita ada laporan pakar perubatan yang telah melakukan pemeriksaan electromyographic (EMG) ke atas Irfan. Keputusan ini juga menunjukkan Irfan menghidap myokymia.
“Pakar perubatan juga percaya keadaan myokymia Irfan ini adalah berpunca akibat terdedah kepada kimia toksik semasa insiden Sungai Kim Kim,” -Kamarudin Ahmad
Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Pasir Gudang di sini hari ini.
Kamarudin berkata, pihaknya juga mempunyai laporan terdapat kandungan toksik dikesan di sungai berkenaan juga boleh menjadi pencetus kepada masalah kesihatan dialami Irfan.
“Antara kimia toksik terlibat dengan Sungai Kim Kim adalah akronitril, acrolein, sianida, methane, xlene, ethylbenzene dan hidogen klorida. Selain itu, terdapat juga kimia toulene yang mana ada kemungkinan boleh menyebabkan berlakunya penyakit myokymia ini,” -Kamarudin Ahmad
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, pihaknya juga akan membantu 160 mangsa terdiri daripada pelajar, orang awam dan nelayan untuk menfailkan saman kerana didakwa terkesan atas insiden pencemaran itu.
“Saman ini ditujukan kepada 11 defendan antaranya kerajaan negeri, Menteri Besar Johor, Menteri Alam Sekitar dan pihak beberapa agensi bertanggungjawab manakala di pihak plaintif pula melibatkan dua kumpulan.
“Plaintif pertama adalah kumpulan pelajar dan orang awam seramai 40 individu dan kumpulan kedua adalah 120 nelayan atas alasan mata pencarian mereka terjejas kerana insiden ini,” –Kamarudin Ahmad
Untuk rekod, pencemaran toksik di Sungai Kim Kim bermula pada 7 Mac lalu, menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah sehingga menyebabkan 111 sekolah di kawasan Pasir Gudang diarahkan tutup buat sementara.
Keseluruhannya, 900 tan tanah tercemar bersama selut dan 1,500 tan air tercemar daripada dasar sungai itu dikumpul sebelum dilupuskan oleh kontraktor dilantik kerajaan.
Terdahulu, ayah Irfan, Idham Wazir yang dihubungi Buletin TTKM meluahkan perasaan tersinggung beliau di atas kenyataan timbalan menteri kesihatan yang berkata penyakit Myokymia yang dihidapi oleh anaknya itu bukan berpunca dari pencemaran Sungai Kim Kim.
“Saya sakit hati. Ini menyinggung perasaan. Apa yang beliau katakan itu seperti nak lari dari tanggungjawab” – Idham Wazir
Idham turut mempersoalkan kenyataan timbalan menteri kesihatan itu kerana menurutnya terdapat hampir enam ribu mangsa toksik Sungai Kim Kim tempohari dan anak beliau adalah salah seorang daripadanya.
Berikut kami siarkan maklum balas beliau menjawab kenyataan Dr Lee boon Chai.
Kenyataan Dr Lee Boon Chai : Pemeriksaan latar belakang kanak-kanak berusia 12 tahun itu menunjukkan beliau lahir tidak cukup bulan dan mempunyai sejarah kesihatan sejak berumur 4 tahun.
Jawapan Idham Wazir: Ya benar, Irfan Wazir dilahirkan ketika usia penghamilan 32 minggu, tetapi beliau sihat dan pandai otaknya. Beliau merupakan di antara pelajar yang pintar dan terbaik di sekolah. Selain merupakan seorang pengawas, beliau juga berada di kelas DLP.
Irfan tidak pernah menghidap penyakit sawan, tetapi beliau diberikan ubat sawan semenjak kes pencemaran toksik Sungai Kim Kim.
Mengenai dakwaan Irfan mempunyai sejarah kesihatan sejak berumur 4 tahun, perkara ini adalah salah. Dari mana dia dapat fakta itu?
Irfan cuma pernah menghidap penyakit denggi ketika berumur 8 tahun dan manakala pada disember 2018, ada dilakukan pembedahan untuk rawatan tonsil dan sinus.
Kesemua ini juga tiada kena mengena dengan penyakit sawan.
Kenyataan Dr Lee Boon Chai : Kami tahu myokymia adalah penyakit yang boleh disebabkan oleh kanser otak, jangkitan otak atau kecederaan.
Jawapan Idham Wazir: Kami sudah melakukan ENT, keputusannya normal. Kami juga telah menjalankan MRI untuk otak dan tulang belakang, keputusannya juga normal.
Untuk makluman, Irfan juga tidak pernah ke hospital kerajaan semenjak lahir, ini kerana majikan ada panel doktor swasta. Irfan cuma pertama kali masuk ke hospital kerajaan HSI pada 13 Mac rentetan tragedi pencemaran toksik sungai Kim Kim.
Semalam, kementerian kesihatan berkata tiada bukti yang menunjukkan insiden pencemaran toksik di Sungai Kim Km pada bulan Mac lalu adalah penyebab kepada myokymia yang dihidapi oleh adik Irfan Wafiy.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye dipetik oleh The Star sebagai berkata pemeriksaan latar belakang kanak-kanak berusia 12 tahun itu menunjukkan beliau lahir tidak cukup bulan dan mempunyai sejarah kesihatan sejak berumur 4 tahun.
“Beliau diperiksa oleh pakar kaji saraf paediatrik. Tiada bukti setakat ini yang menunjukkan ia dikaitkan dengan insiden (pencemaran sungai Kim Kim)” – Dr Lee Boon Chye
Tambah beliau lagi, ada beberapa penyebab lain yang membawa kepada penyakit tersebut.
“Kami tahu myokymia adalah penyakit yang boleh disebabkan oleh kanser otak, jangkitan otak atau kecederaan” – Dr Lee Boon Chye
Untuk rekod, Irfan Wafiy,12 yang juga anak keempat daripada lima beradik, telah disahkan menghidap Myokymia, iaitu penyakit seakan-akan Parkinson.
Ayahnya, Idham Wazir berkata penyakit yang menimpa Irfan bermula sejak dia dimasukkan ke dalam wad di Hospital Sultan Ismail, Johor Bharu selama 10 hari selepas mengalami kesukaran bernafas dipercayai terhidu gas toksik dari pencemaran Sungai Kim Kim.
Beliau berkata akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa pihak yang bertanggung jawab menyebabkan penyakit tersebut dihidapi oleh anaknya– Buletin TTKM-
Sokong portal Buletin TTKM ini untuk terus melaporkan tanpa “fear or favor” dengan membuat sumbangan ke akaun:
No akaun: 8603355994
Bank : CIMB Bank
Nama Syarikat / TTKM ENTERPRISE
Sementara itu, gelombang kedua pencemaran udara di Pasir Gudang telah masuk dua minggu dan setakat ini pihak kerajaan masih belum dapat mengenal pasti punca kejadian. – Buletin TTKM-