Pasir Gudang, 7 Julai : Menteri kesihatan, Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya sedang menantikan laporan lengkap berhubung kematian seorang wanita di Pasir Gudang yang dikatakan berkait dengan insiden pencemaran di Pasir Gudang.
Tambah menteri kesihatan itu lagi, beliau baru sahaja diberi maklum hal tersebut, kerana itu tidak dapat memberikan butiran lanjut dan hanya akan mengadakan sidang akhbar atau mengeluarkan kenyataan akhbar pada petang atau malam ini.
“Saya sebenarnya baru diberi faham. Saya akan mendapatkan laporan yang lengkap pada petang atau malam ini dari pengarah jabatan kesihatan negeri. Kemudian saya mungkin akan buat sidang akhbar atau kenyataaan akhbar. Jadi tunggu, sebab saya tak punya maklumat yang lengkap lagi dan saya menantikan laporan yang lengkap atas segala penemuan klinikal.. saya tidak dapat berikan apa-apa butiran pada pagi ini” – Dr Dzul
Sementara itu, Bernama melaporkan “tiada pengesahan daripada pihak berkuasa kesihatan setakat ini bahawa kes itu ada hubung kait dengan pencemaran udara, malah tiada rekod perubatan yang menunjukkan ada mangsa yang meninggal dunia sejak kes ini muncul April lepas.”
Terdahulu, bekas menteri besar Johor, Datuk Khalid Nordin dalam satu hantaran di facebooknya memberi maklum kematian mangsa, Marini Kasman, 38 tahun.
Menurut beliau, mangsa mengalami masalah sesak nafas sejak beberapa hari lalu akibat pencemaran udara di Pasir Gudang dan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Ismail, JB.
“Mendapat perkhabaran bahawa Pn. Marini Kasman, penduduk Cahaya Masai, Pasir Gudang mangsa pertama meninggal dunia kerana sesak nafas akibat Pencemaran Udara di Pasir Gudang ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru dipercayai akibat kekurangan oksigen dalam darah. Salam takziah buat suami mangsa, En. A. Bakar Abd Rahman dan keluarga. Semoga tabah menghadapi ujian yang berat ini.Al Fatihah.” – Datuk Khalid Nordin
Sudah masuk dua minggu gelombang kedua pencemaran udara toksik melanda Pasir Gudang. Setakat ini, kerajaan masih belum dapat mengenal pasti punca sebenar kejadian. -Buletin TTKM-