IPOH 9 Julai : EXCO Perak, juga merupakan seorang ADUN DAP disiasat polis selepas disyaki merogol pembantu rumahnya warga Indonesia.
Harian Metro melaporkan perkara itu berkata mereka difahamkan mangsa tampil membuat laporan polis semalam selepas dipercayai dirogol di kediaman lelaki itu di Meru, Ipoh.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Asisten Komisioner Choo Lily mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Ya… kita sudah menerima laporan polis yang dibuat mangsa semalam dan siasatan kini sedang dijalankan.
“Buat masa ini belum ada tangkapan namun suspek akan ditahan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” – Asisten Komisioner Choo Lily
Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Untuk rekod, lima daripada 10 anggota exco di Perak adalah terdiri daripada Adun DAP iaiatu Wong Mei Ing, A Sivanesan, Paul Yong, Howard Lee dan Abdul Aziz Bari.
Pada perkembangan yang sama. pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dalam satu kenyataan berkata parti akan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dakwaan berkenaan.
“Ini adalah tuduhan serius . DAP memandang berat dengan tuduhan itu.
“Oleh kerana laporan polis telah dibuat dan parti berpendirian bahawa tiada sesiapapun yang berada di atas undang-undang, jadi kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan penuh.
“Tindakan sewajarnya akan diambil bergantung kepada keputusan siasatan oleh pihak berkuasa,” – Nga Kor Ming.
– Buletin TTKM-