Kenapa AGC mahu Wanji dihukum lebih berat?- soal peguam.

Oleh : Syahredzan Johan

1. Saya merujuk kepada laporan media bahawa Mahkamah Tinggi di Shah Alam telah monolak rayuan pendakwah bebas, Wan Ji Wan Husin terhadap sabitan dan hukumannya di bawah Akta Hasutan.

2. Lebih memeranjatkan lagi, dilaporkan juga bahawa Mahkamah Tinggi telah meminda hukuman terhadap Wan Ji kepada 1 tahun penjara selepas pihak Pendakwa Raya membuat rayuan silang terhadap hukuman penjara 9 bulan yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen.

3. Walaupun Akta Hasutan masih belum dimansuhkan dan masih berkuatkuasa, namun Kerajaan Persekutuan telah berkali-kali menzahirkan niat untuk memansuhkan Akta tersebut.

4. Malahan, Pendakwa Raya sendiri telah menarik balik beberapa pertuduhan di bawah Akta tersebut sebelum ini, selari dengan dasar Kerajaan Persekutuan mengenai Akta tersebut.

5. Oleh itu, Pendakwa Raya mesti memberi penjelasan mengapa pihaknya telah membuat rayuan untuk mengenakan hukuman yang lebih berat ke atas Wan Ji, bertentangan dengan dasar Kerajaan Persekutuan mengenai Akta Hasutan.

6. Apatah lagi hukuman 9 bulan penjara yang dikenakan oleh Hakim Mahkamah Sesyen yang bijaksana adalah terlalu berat dan tidak mengikut tren (trend) hukuman berkenaan dengan sabitan bawah Akta Hasutan, iaitu menjurus kepada hukuman denda dan bukannya penjara.

7. Ini tidak bermakna saya bersetuju dengan apa yang diluahkan oleh Wan Ji yang menjadi asas pendakwaan terhadapnya. Tetapi faktor-faktor mitigasi dalam mempertimbangkan hukuman mesti diambilkira dengan sewajarnya.

8. Saya sedar bahawa sekiranya Parlimen memansuhkan Akta Hasutan sekalipun, ia tidak akan memberi kesan langsung kepada kes Wan Ji kerana pendakwaan dan sabitannya adalah semasa undang-undang tersebut masih berkuatkuasa.

9. Akan tetapi, untuk memastikan tiada lagi rakyat Malaysia seperti Wan Ji dijenayahkan kerana Akta Hasutan yang zalim dan lapuk itu, maka saya menggesa sekali lagi supaya Kerajaan Persekutuan mempercepatkan usaha untuk memansuhkan Akta tersebut.

Syahredzan Johan
09 Julai 2019


Kenyataan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian TTKM. Syahredzan merupakan seorang peguam dan juga setpol Lim Kit Siang- Editor.

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.