Lebih RM14 juta dibelanjakan untuk lawatan PM ke luar negara sejak setahun lalu.

Kerajaan membelanjakan lebih RM14 juta untuk membiayai lawatan rasmi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ke luar negara sejak setahun lalu, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Md Farid Md Rafik.

“Perbelanjaan terperinci bagi keseluruhan lawatan rasmi ke luar negara yang dibuat oleh Perdana Menteri bagi tempoh setahun yang lalu adalah berjumlah RM14,327,865.05 (melibatkan 22 lawatan).

“Perbelanjaan ini merangkumi pegawai kerajaan yang turut serta dalam setiap lawatan Perdana Menteri ke luar negara sepertimana yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri,” – Md Farid Md Rafik.

Md Farid berkata demikian dalam satu  jawapan bertulis di parlimen sebagai menjawab soalan daripada Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin, yang bertanya butiran terperinci kos untuk lawatan ke luar negara perdana menteri bagi tempoh setahun lalu.

Menurut laporan Selangor Kini pada 2013, Ahli Parlimen DAP Taiping, Nga Kor Ming mempersoalkan  perbelanjaan Najib yang merupakan perdana menteri ketika itu, yang membelanjakan lebih RM 8 juta setahun untuk  menampung kos lawatan ke luar negara.

Nga menyifatkan perbelanjaan RM8 juta setahun itu sebagai melampau.

“Saya ingin tanya kepada Perdana Menteri, apakah yang beliau berjaya capai untuk negara selepas berbelanja sebanyak itu?

“Dengan perbelanjaan melampau begini, Kerajaan akan mengalami defisit sebanyak RM 55.3 bilion tahun ini,” – Nga Kor Ming.

 

Untuk rekod, Nga Kor Ming yang merupakan ahli Parlimen DAP Teluk Intan kini merupakan timbalan speaker di bawah kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir.
Pada 17 Julai lepas, Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet mengesahkan hutang dan liabiliti kerajaan Persekutuan pada akhir 2018 berjumlah RM1.1 trilion.

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapha Mohamed berkata, pecahan itu termasuk RM741 bilion hutang kerajaan Persekutuan, RM132.7 bilion membabitkan jaminan pinjaman yang ditanggung kerajaan, RM32.2 bilion hutang bersih 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak termasuk faedah dan liabiliti lain berjumlah RM184.9 bilion.

Hutang mencecah RM1 trilion ini sering digunakan kerajaan sebagai alasan untuk tidak menunaikan janji manifesto PH pada PRU 14 seperti menghapuskan tol dan penangguhan pembayaran pinjaman PTPTN.

– Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.