Denda RM500 jika bersolat : Ini jawapan kilang terbabit..

Klang 1 Ogos : Demi mendapatkan kepastian dari kilang yang didakwa mengeluarkan memo mengenai larangan  pekerja beragama Islam dari menunaikan solat selain dari waktu rehat tengah hari, Buletin TTKM sudah menghubungi syarikat terbabit sebanyak dua kali.

“Sedang dalam mesyuarat”

Kali pertama pada jam 10 pagi, pekerja yang menjawab telefon berkata kepada kami bahawa pihak HR tidak dapat bercakap kerana sedang di dalam mesyuarat.

Beliau kemudian meminta kami supaya menghubungi semula pada jam 12 tengah hari.

Pada jam 12.15 tengah hari, kami menelefon kali kedua pihak kilang terbabit berkenaan isu memo itu.

Jawapan pada kali ini pula adalah supaya kami menelefon kembali selepas jam 3 petang kerana mereka masih lagi dalam mesyuarat.

Buletin TTKM akan cuba untuk kali ketiga menghubungi mereka pada jam 3 petang ini untuk mendapatkan kepastian.

Jika tidak benar, buat laporan polis.

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar sebagai  berkata, wakil pejabatnya menghubungi kilang tersebut selepas mengetahui tentang satu memo yang tersebar di media sosial.

Menurutnya, pihak kilang menafikan memo yang tersebar itu dikeluarkan mereka.

“Saya minta pihak syarikat lapor polis sekiranya benar ini satu sabotaj seperti yang didakwa,” – Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar

Sejak awal hari ini, memo dari sebuah kilang di Klang didakwa melarang pekerja Islam solat di luar waktu rehat tengah hari telah tular di media sosial.

Menurut memo itu lagi, sesiapa yang didapati solat di luar waktu tersebut akan didenda sebanyak RM500.00. – Buletin TTKM-

 

Author: Buletin TTKM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.