Dong Zong anjur himpunan bantah jawi Isnin ini.

KUALA LUMPUR, 2 Ogos: Kumpulan pendesak pendidikan Cina, Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) akan menganjurkan himpunan bagi membantah penambahan seni khat jawi dalam subjek Bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah vernakular yang dirancang dilaksanakan mulai tahun depan.

Menurut laporan Sin Che Daily, himpunan itu akan diadakan pada Isnin depan ( 5 Ogos)  di ibu pejabatnya.

Tambah laporan itu lagi, himpunan tersebut akan dihadiri lebih 10 persatuan pendidikan Cina dan Tamil.

Sin Chew Daily turut memetik  seorang sarjana pendidikan yang enggan mendedahkan namanya sebagai berkata, tulisan jawi bukan sebahagian daripada bahasa Melayu dan tidak pernah dimasukkan dalam buku teks Sekolah Kebangsaan Bahasa Malaysia sejak 60 tahun lalu.

“Jawi hanya sebahagian daripada mata pelajaran Pendidikan Agama Islam,” katanya.

Kelmarin, Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) membantah keputusan kerajaan untuk melaksanakan penggunaan tulisan jawi dan seni khat ke dalam buku teks di semua sekolah.

Tambah Dong Zong dan Jiao Zong seni khat dan tulisan jawi yang akan dimasukkan sebagai sebahagian sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat pada tahun depan adalah tidak sesuai kerana keduanya tidak mempunyai hubungan secara langsung.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan berkata akan menerusikan rancangan untuk memperkenal tulisan khat dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Darjah 4 pada tahun depan seperti dirancang.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, kementerian itu berkata khat merupakan sebahagian daripada identiti negara dan warisan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan dan perpaduan.

“Pada masa sama, tulisan ini juga terdapat pada jata negara, jata negeri-negeri dan wang kertas Ringgit Malaysia.

“Sehubungan itu Kementerian Pendidikan akan meneruskan pelaksanaan pengenalan tulisan khat ini seperti dijadualkan, dengan mengambil kira pendekatan penyampaian yang lebih mudah difahami dan tidak membebankan murid dan guru,” – Kenyataan Kementerian Pendidikan.

Kata kementerian itu lagi, pengenalan tulisan khat telah dilaksanakan melalui semakan semula kurikulum sejak 2014 dan menerusi pelbagai sesi libat urus dengan pakar bahasa dan pendidikan.

Cuma enam daripada 164 muka surat buku teks baru untuk Bahasa Melayu Darjah 4 tahun depan dikhaskan untuk pelajaran itu.

Terdahulu, pemimpin parti DAP yang terdiri dari  11 Adun, 14 pemimpin akar umbi dan pemuda DAP serta 138 cawangan dan jawatankuasa parti di peringkat parlimen membantah langkah memperkenalkan tulisan jawi itu kerana menurut mereka ia akan menginstitusikan dan mempolitikkan tulisan Jawi.

Sebelum merdeka, kepulauan Melayu sudah menggunakan tulisan jawi sebagai sistem penulisan selama ratusan tahun sejak kurun ke 14 lagi. -Buletin TTKM-

 

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.