Tue. Oct 15th, 2019

Buletin TTKM

BERSANDAR FAKTA, BERCORAK SANTAI

“Malaysia Sport Challenge”: Merdeka ke-62 sepak terajang bahasa kebangsaan

2 min read

Merdeka ke-62 sepak terajang bahasa kebangsaan

Oleh : Arif Atan

Rakyat Malaysia berada dalam sambutan bulan Ulang Tahun Kemerdekaan ke-62. Sayang seribu kali sayang, maruah bahasa kebangsaan milik semua rakyat Malaysia telah dihina.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong hari ini mengumumkan nama Hari Sukan Negara (HSN) ditukar kepada nama baharu iaitu Malaysia Sports Challenge (MySC).

Pengumuman pemimpin DAP yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu amat mengejutkan. Ibarat kaca terhempas ke batu. Begitu menyiat jiwa setiap rakyat Malaysia yang cintakan bahasa negaranya.

Kata Stesen, penukaran nama kepada bahasa Inggeris itu “hanya penjenamaan semula dan tiada kaitan dengan tujuan lain”.

Jelasnya, MySC disambut selama sebulan iaitu sepanjang Oktober ini berbeza dengan HSN yang hanya berlangsung sehari.

Lagi, katanya, MySC mensasarkan 5 juta penyertaan melibatkan semua peringkat umur. Padahal, HSN hanya melibatkan sasaran 2 juta orang.

Itu sahaja alasannya? Soalnya, hanya kerana lebih lama tempoh dan lebih ramai sasaran peserta, maka Kementerian Belia dan Sukan (KBS) begitu rasa “terdesak” yang teramat terdesak untuk memakai nama dalam bahasa Inggeris?

Sebenarnya, kami rakyat ingin bertanya: Apa sebenarnya “tujuan lain” di sebalik keputusan menolak pemakaian nama HSN?

Tidakkah tindakan KBS menanggalkan bahasa kebangsaan untuk sebuah acara yang sudah sedia menggunakan bahasa Melayu akan ditafsir rakyat sebagai memusuhi bahasa rasmi negara?

Bagaimana kerajaan yang sepatutnya mendaulatkan bahasa kebangsaan boleh berpaling mengabaikan bahasa milik tanah air ini?

Mengapa KBS di bawah kerajaan Pakatan Harapan sewenang-wenangnya menukar nama Hari Sukan Negara kepada bahasa Inggeris selepas empat tahun acara tahunan kementerian itu berlangsung?

Adakah nama “Hari Sukan Negara” ketinggalan zaman untuk diucap di lidah, dilihat di mata dan diresap di hati?

Adakah nama “Malaysia Sports Challenge” begitu bersifat mendunia sehingga mampu menjentik kaki rakyat dan semua pak menteri untuk bersukan sama?

Tidak kurang pentingnya, adakah menukar nama Hari Sukan Negara kepada Malaysia Sports Challenge (MySC) itu ada dalam manifesto pilihan raya lepas?

Jawab! Jawab!


Arif Atan merupakan seorang wartawan, pandangan beliau tidak semestinya mewakili pendirian Buletin TTKM – Editor.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copyright © All rights reserved. Newsphere by AF themes.
RSS
Follow by Email
Facebook
Twitter
%d bloggers like this: