Penyerahan memorandum ke KBS bantah penukaran kempen hari sukan negara ke bahasa Inggeris

Putrajaya 23 Ogos: Sekumpulan aktivis yang menggelarkan diri mereka sebagai Ikatan Warga Malaysia (IKWAM) akan menyerahkan memorandum bantahan kepada kementerian belia dan sukan berhubung penukaran kempen hari sukan negara ke Malaysia Sport Challenge.

Penyelaras IKWAM, Mohd Affandi Ramli atau lebih dikenali sebagai Ronasina ketika dihubungi Buletin TTKM berkata mereka akan menyerahkan memorandum tersebut di bangunan KBS di Putrajaya pada jam 2.45 petang ini selepas solat jumaat.

Berikut merupakan kenyataan akhbar penuh :

Perkara : *MENYERAH MEMORANDUM MEMBANTAH PENUKARAN KEMPEN HARI SUKAN NEGARA KE BAHASA INGGERIS*

Tarikh: Jumaat 23 Ogos 2019

Jam: 2.45 petang

Tempat : lobi Menara KBS
Kementerian Belia dan Sukan
No 27, Persiaran Perdana, Presint 4
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62570 Putrajaya

Objektif :

1. Membantah penukaran apa juga kempen atau program dari bahasa kebangsaan kepada bahasa Inggeris

2. Mengekalkan nama nama kempen atau program yang menggunakan bahasa kebangsaan

3. Memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan rakyat Malaysia

Kenyataan bersama :

1. Kami sebagai rakyat Malaysia membantah sebarang penukaran sesebuah kempen , program dan sebagainya yang menggunakan bahasa kebangsaan kepada bahasa Inggeris atas alasan dangkal seperti yang dinyatakan oleh timbalan menteri belia dan sukan dalam Bernama.com 21 Ogos 2019, “Saya rasa tiada masalah kerana intipatinya masih lagi Malaysia, penganjurnya Malaysia (kerajaan) dan pesertanya juga orang Malaysia.” di pautan http://bernama.com/bm/news.php?id=1759365
Jika tiada masalah, maka ditegaskan ia tidak perlu ditukarkan.

2. Kita sebagai warganegara Malaysia tidak perlu lagi menyangkal keupayaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa yang tiada daya maju sebaliknya harus menanam rasa bangga dan menerimanya seperti yang telah lama dipersetujui dalam perlembagaan. Membuang bererti memperlekehkan bahasa kebangsaan dan enggan mengiktirafnya.

3. Kerajaan melalui kementerian-kementerian yang ada wajib menjadi pemula kepada sebarang usaha menyatupadukan rakyat dan bahasa kebangsaan adalah simbol penyatuan yang paling baik. Ia bukan sesuatu yang asing di mana mana negara dalam dunia ini . Kerajaan harus meyakinkan rakyat dengan usaha usaha mengangkat bahasa kebangsaan sebagai identiti nasional .

4. Dalam keadaan suasana rakyat Malaysia resah dengan berbagai isu sensitif menyentuh perpaduan kaum, tindakan Kementerian Belia dan Sukan dilihat tidak membantu malah boleh mencetuskan lebih ketegangan .

5. Kami mendesak agar menghentikan sebarang tindakan yang boleh mencetus ketidakharmonian. Semua anak bangsa Malaysia berhak berasa aman dan tenteram . Bahasa kebangsaan adalah alat komunikasi yang dapat mengukuhkan keharmonian sesama kita.

Sekian, terima kasih.

‘BAHASA KEBANGSAAN BAHASA KITA SEMUA’

_*Penyelaras Mohd Affandi Ramli (Ronasina), +60 11-2181 1273._

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.