Sepang, 24 Ogos: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menyatakan bahawa mereka sangat tidak berpuas hati mengenai gangguan sistem yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dalam kenyataan yang disiarkan di laman sesawangya semalam, suruhanjaya itu meminta Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memberi maklumat terkini kepada penumpang dan syarikat penerbangan mengenai bila sistem dapat dipulihkan.
Katanya, MAVCOM difahamkan bahawa MAHB sedang bekerjasama dengan semua pihak yang berkaitan, termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk memulihkan operasi lapangan terbang itu.
“MAVCOM telah berusaha untuk mengukuhkan industri penerbangan di Malaysia. Sebahagian daripada peranan suruhanjaya itu ialah menyediakan mekanisme untuk perlindungan pengguna penerbangan, dan kami amat tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku di KLIA,”
Suruhanjaya itu berkata ia akan terus memantau dan menilai tahap perkhidmatan di KLIA melalui Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang dan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).
Sementara itu, Bernama melaporkan Malaysia Airports telah mengenal pasti kegagalan rangkaian (network failure) sebagai punca kepada gangguan terhadap operasi di KLIA dan telah menggantikan alat rangkaian tersebut yang kini sedang diuji dan dimonitor kestabilannya.
Ketua eksekutif Malaysia Airport Raja Azmi Raja Nazuddin dalam satu kenyataan berkata sejak alat rangkaian tersebut digantikan, terdapat kemajuan pada kestablian rangkaian (network stability).
“Sistem kritikal di terminal utama KLIA ketika ini kebanyakkannya telah pulih dan berjalan. Walau bagaimanapun, kami menggunakan pendekatan berhati-hati dan akan terus berjaga-jaga kerana kami masih mengalami beberapa isu berbangkit sela-menyela” – Raja Azmi Raja Nazuddin
Sementara itu, di laman sosial, gambar informasi penerbangan dituliskan secara manual di papan putih, dan tiket ditulis di atas kertas telah menjadi tular.
Sejak dibuka pada tahun 1998, KLIA tidak pernah mengalami gangguan rangkaian seteruk ini.-Buletin TTKM-