Wawancara : Kisah sebenar kenapa pelajar AATC ditahan polis

Dua hari lepas, negara digemparkan mengenai tangkapan 7 orang pelajar Allied Aeronatics Training Centre ( AATC) bersama seorang aktivis Parti Sosialis Malaysia, Sharan Raj selepas menduduki pejabat AATC.

7 pelajar dan Sharan Raj (berbaju merah) yang ditahan polis.

Buletin TTKM mewawancara Sharan Raj untuk mengetahui kisah sebenar disebalik peristiwa tersebut.

Buletin TTKM : Video leher saudara dicekak dan disumbat ke dalam van polis ketika ditangkap di pejabat AATC menjadi tular. Boleh ceritakan apakah sebenarnya yang berlaku?

Sharan Raj : Seorang pelajar telah digari selepas pihak polis cuba menyuraikan bantahan kami. Saya bersama 7 pelajar lain kemudian membuat rantaian tangan untuk cuba membantu beliau. Malangnya, kami diheret oleh pihak polis.

Buletin TTKM : Saudara dicekak di leher?

Sharan Raj : Ya. Insiden tersebut berlaku dengan cepat dan tindakan pihak polis agak kasar. Kami cuma melakukan protes. Sepatutnya pihak polis membenarkan kami melakukan bantahan bukannya memihak kepada pengurusan dengan menangkap pelajar.

Buletin TTKM: Kenapa para pelajar menduduki pejabat tersebut?

Sharan Raj : Para pelajar menduduki pejabat tersebut kerana membantah tindakan pihak pengurusan memecat pengerusi dan setiausaha kesatuan pelajar mereka. Mereka mahu surat pemecatan ditarik balik.

Sebelum itu, kedua mereka ini telah mengutuskan surat kepada pihak pengurusan pada khamis lepas untuk bersemuka dengan CEO syarikat terbabit bagi membincangkan masalah mereka. Surat tersebut turut diberikan salinan kepada menteri sumber manusia, menteri pengangkuta, menteri pendidikan, MAVCOM,

Buletin TTKM : Apakah kandungan surat tersebut?

Sharan Raj : Surat tersebut menjelaskan dilema yang dihadapi pelajar. Pihak pengurusan sebelum ini menjanjikan pinjaman PTPK untuk para pelajar ini. Perkara ini gagal dilunaskan. Sebaliknya, mereka diminta pula untuk membuat pinjaman dengan Bank Affin, di mana kadar faedahnya adalah tinggi. Jadi mereka tidak setuju dan rasa tertipu. Atas sebab itu, mereka mengutuskan surat tersebut untuk berbincang.

Selain itu, surat tersebut juga menyatakan sebab mengapa pelajar menubuhkan persatuan, selepas mendapati pihak pengurusan tidak bertindak untuk kepentingan pelajar.

uletin TTKM : Apakah respon dari pihak AATC berhubung surat tersebut?

Sharan Raj : Surat bertarikh 22 Ogos tersebut ditujukan kepada CEO AATC, dan beliau sangat profesional dan menyambut surat yang diberikan melalui tangan dengan mesra. Tetapi mengejutkan, pada isnin 10 pagi 26 Ogos, pihak pengurusan telah bertindak dengan memecat pengerusi dan setiausaha persatuan pelajar AATC. Pada sebelah petang 3pm, pelajar nekad menduduki pejabat pengurusan untuk mendesak surat pemecatan tersebut ditarik balik.

Buletin TTKM: Bagaimana saudara sebagai ahli politik PSM boleh terlibat dalam perjuangan para pelajar ini?

Sharan Raj : Para pelajar melantik saya sebagai penasihat.

Buletin TTKM : Ada dakwaan mengatakan saudara mengeksploitasi isu ini untuk mendapat mileage politik.

Sharan Raj : Tidak. Jika saya ingin lakukan begitu, saya sudah lakukan sidang akhbar ketika surat diutuskan kepada CEO terbabit. Tindakan protes adalah respon spontan akibat pemecatan.

Buletin TTKM : siapakah yang ditahan.

Sharan Raj : Berikut merupakan senarai nama mereka yang ditahan.

1. Aingkaran A/L ramalingam (22)
2. Ho Joe Yee (20)
3. Neezam bin Abdullah(20)
4. Kumaraguru A/L Baloo (21)
5. Yagesh A/L Ravishangar ( 23)
6. Pravinraj A/L Balasubramaniam( 22)
7. Ganesan (20)
8. Sharan raj -PSM central committee member (26)

Buletin TTKM : Bilakah saudara dan pelajar tersebut dibebaskan?

Sharan Raj : Pada hari yang sama penangkapan, lebih kurang jam 9.45 malam kami semua dibebaskan dengan jaminan polis.

Buletin TTKM : Apakah tindakan seterusnya dari pelajar?

Sharan Raj : Pagi ini ( 28 Ogos 2019), menteri sumber manusia, M Kulasegaran telah memanggil para pelajar dan pihak pengurusan untuk proses rundingan, yang dipengerusikan sendiri oleh menteri. 8 wakil pelajar bersama 10 penyokong menghadiri mesyuarat tersebut.

Buletin TTKM : Terima Kasih saudara kerana sudi meluangkan masa bersama Buletin TTKM.

Sharan Raj : Sama-sama.

Author: Buletin TTKM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.