Adakah perjanjian PH menyatakan tempoh peralihan kuasa?

Editorial TTKM

Baru-baru ini kem pro Anwar semakin mengasak Tun Dr Mahathir supaya meletak jawatan dan menyerahkan kuasa perdana menteri kepada Anwar Ibrahim.

Ada yang mendakwa dalam perjanjian Pakatan Harapan, sudah dinyatakan dengan jelas perkara ini.

Buletin TTKM mendapati perjanjian yang diperkatakan itu adalah perjanjian yang dinamakan Muafakat Pakatan Harapan, yang dimeterai pada 6 Januari 2019.

Perjanjian tersebut ditanda tangani oleh:

  • Tun Dr Mahathir Mohamad – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia
  • Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail – Presiden Parti Keadilan Rakyat
  • Tan Sri Muhyiddin Yassin – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia
  • Tuan Tan Kok Wai – Pengerusi Parti Tindakan Demokratik Malaysia
  • Tuan Hj Mohamad Sabu – Presiden Parti Amanah Negara

Setelah meneliti dengan cermat kandungan perjanjian itu, jelaslah tiada dinyatakan sebarang tempoh peralihan kuasa. Tiada jangkamasa dinyatakan sama dua tahun ataupun tiga tahun seperti yang digembar gemburkan beberapa pihak.

Kami siarkan kembali isi perjanjian tersebut mengenai hal ini:

MENGHARGAI bahawa Pakatan Harapan adalah sebuah gabungan besar (grand coalition) parti-parti politik yang menggandingkan dua tokoh negarawan ulung, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum dalam rangka menyempurnakan legasi misi tertangguh, maka Pakatan Harapan dengan penuh sukacita dan ta’zimnya mengumumkan:

1. Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri dan Yang Berhormat Datuk Seri Dr Wan Azizah binti Datuk Dr Wan Ismail sebagai calon Timbalan Perdana Menteri apabila Pakatan Harapan mendapat mandat rakyat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihanraya Umum ke-14;

2. Untuk memperkukuh kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan dan memperteguh muafakat antara parti-parti anggota, proses undang-undang untuk mendapatkan Pengampunan Diraja bagi membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dimulakan segera, selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara, agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat segera berperanan dalam Kerajaan Persekutuan dan kemudiannya diangkat sebagai calon Perdana Menteri ke-8;

3. Sebagai persiapan Pakatan Harapan menghadapi dan memenangi PRU14, kami telah memutuskan pengagihan kerusi-kerusi kawasan Parlimen bagi Semenanjung iaitu yang melibatkan 165 kerusi, seperti berikut:

a. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) – 52 kerusi

b. Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) – 51 kerusi

c. Parti Tindakan Demokratik Malaysia (DAP) – 35 kerusi

d. Parti Amanah Negara (AMANAH) – 27 kerusi

MAKA dengan ini kami bersepakat dan bersetuju dengan muafakat bersama ini sebagai perjanjian yang mengikat parti-parti kami.

-Kandungan Muafakat Pakatan Harapan.

Perhatikan poin no 2:

2. Untuk memperkukuh kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan dan memperteguh muafakat antara parti-parti anggota, proses undang-undang untuk mendapatkan Pengampunan Diraja bagi membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dimulakan segera, selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara, agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat segera berperanan dalam Kerajaan Persekutuan dan kemudiannya diangkat sebagai calon Perdana Menteri ke-8;

Dua perkara dalam poin no 2 ini telah dilakukan segera oleh Tun Dr Mahathir sebagaimana dalam perjanjian itu; mendapatkan pengampunan diraja dan membebaskan datuk seri Anwar Ibrahim. Ini kerana dengan jelas dinyatakan tempoh bila perkara itu  dilakukan iaitu “dimulakan segera selepas PH mengambil alih pentadbiran negara.”.

Walau bagaimanapun, menarik diperhatikan perkara selepas itu, iaitu mengenai peralihan kuasa, perhatikan ayat ” agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat segera berperanan dalam Kerajaan Persekutuan dan kemudiannya diangkat sebagai calon Perdana Menteri ke-8;”. 

Jelas bukan? Tiada jangkamasa dinyatakan. Tiada langsung dinyatakan dua tahun ataupun tiga tahun.

Sebab itulah Tun Dr Mahathir sehingga sekarang tidak menyatakan bilakah tarikh beliau akan meletak jawatan.

Pada penutup Perhimpunan Agung UMNO  2002, Tun Dr Mahathir telah mengumumkan perletakan jawatan beliau sebagai Presiden UMNO, dan pengerusi Barisan Nasional,  Semua pemimpin UMNO ketika itu sebulat suara meminta beliau menarik balik peletakan jawatan itu. Pada akhirnya beliau sendiri yang memberikan tarikh ia dikuat kuasa iaitu pada  Oktober 2003.

Bagaimana pula kali ini, adakah beliau memberikan sebarang tarikh perletakan jawatan sebagai perdana menteri ke 7?

Semalam di sidang media Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan al-Bukhary, Tun M menyatakan bahawa beliau berpegang pada janji akan meletak jawatan, dan Anwar akan naik sebagai perdana menteri, tetapi beliau tidak langsung memberikan tarikh bilakah ia akan berlaku, membiarkan rakyat berteka-teki.

“Saya buat janji, saya berpegang kepada janji saya. Apabila saya letak jawatan kelak, tentunya Anwar akan naik sebagai Perdana Menteri,”

“Pembangkang kata saya tidak mungkin akan letak jawatan. Jangan risau, saya akan letak jawatan dan serahkan kepada Anwar untuk menggantikannya,” – Tun Dr Mahathir. 

Keenganan Tun Dr Mahathir memberikan tarikh yang jelas peralihan kuasa menyebabkan kestabilan kerajaan Pakatan Harapan kian bergoyah.

Adakah Anwar harus bersabar, mempercayai Tun Dr Mahathir sehingga tiba masanya atau beliau perlu mengorak langkah mengasak Tun M seperti 20 tahun yang lalu?

Ada satu ucapan oleh naib presiden PKR, Rafizi Ramli yang sangat popular satu ketika dulu, ketika beliau mengkritik Tun Dr Mahathir.

“Rekodnya, rekod lidah bercabang” – Rafizi Ramli.

-Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.