Wed. Sep 18th, 2019

Buletin TTKM

BERSANDAR FAKTA, BERCORAK SANTAI

“Kami tidak berniat pecah-belahkan negara atau mainkan isu kaum dan agama” – Malaysiakini

3 min read

Petaling Jaya, 31 Ogos: Portal atas talian, Malaysiakini hari ini mempertahankan tindakan mereka ‘memanaskan’ isu yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum, setelah dikritik oleh Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

Menurut portal tersebut, mereka tidak mempunyai niat  untuk memecah-belahkan negara ini atau memainkan sentimen perkauman mahupun agama.

“Bagaimanapun, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai isu-isu yang melibatkan kita semua.

Apa pun usaha kami, individu yang tidak senang dengan Malaysiakini akan sentiasa melihat kami memiliki motif tersembunyi walaupun hakikatnya tidak begitu.” – Kumpulan Malaysiakini. 

Walaunpun demikian, portal tersebut  bersetuju dengan Hussammuddin bahawa media tidak seharusnya menyentuh sentimen kaum atau agama, tetapi menekankan bahawa adalah tidak bertanggungjawab sekiranya penjelasan tidak diterbitkan bagi menjernihkan keadaan kepada mana-mana pihak.

“Dalam suasana yang ‘panas’ ini, kami percaya adalah menjadi tanggungjawab organisasi media mendidik rakyat Malaysia dan menghapuskan kebimbangan serta sikap saling tidak percaya.

Kami juga percaya adalah menjadi tanggungjawab kami untuk mendedahkan individu yang cuba memecahbelahkan rakyat Malaysia melalui ucapan penuh kebencian, dan mendorong mereka yang berkuasa atau berpengaruh bertindak terhadap individu atau kumpulan ini serta mengambil langkah-langkah bagi memulihkan keadaan.” – Kumpulan Malaysiakini. 

Semalam, Sinar Harian melaporkan bahawa akhbar vernakular dan portal Malaysiakini digesa tidak ‘memanaskan’ isu yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum  susulan laporan akhbar-akhbar berbahasa Cina dan Malaysiakini mengenai isu kempen #QuranHour di sekolah-sekolah vernakular.

Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, sebaliknya media perlu berperanan merapatkan hubungan kaum di negara ini.

“Kita kena lihat balik, mungkin kebencian atau jurang antara kaum ini berpunca daripada media sendiri. Seruan saya kepada media-media ini agar lebih bertanggungjawab dan jangan memecah-belahkan hubungan antara kaum.
“Hentikan provokasi kebencian kaum dan agama. Media perlu sedar dan berusaha untuk merapatkan jurang kaum,”  – Datuk Dr Hussamuddin Yaacub

Menurut laporan akhbar berbahasa Cina kelmarin, guru besar sebuah sekolah Cina di Melaka dikatakan terperanjat selepas menerima surat pekeliling daripada Jabatan Pendidikan berkenaan pelaksanaan kempen #QuranHour.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dalam maklum balasnya kepada Malaysiakini berhubung laporan itu berkata, murid bukan Muslim dikecualikan daripada kempen #QuranHour.

Hussamuddin yang juga Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas berkata, isu kempen #QuranHour di sekolah vernakular tidak sepatutnya dilaporkan langsung atau diperbesarkan.

“Program #QuranHour dibuat untuk orang Islam. Di sekolah Cina pun ada orang Islam, sebab itu Jabatan Pendidikan buat pekeliling dan terpulang kepada budi bicara sekolah sama ada hendak anjurkan #QuranHour atau tidak.

“Tak perlulah pergi ke media untuk panaskan isu. Tak faham tanya pejabat pendidikan. Tak perlu dipanaskan perkara ini sehingga menjadi isu nasional lebih-lebih lagi ketika negara berdepan pelbagai isu perkauman.

“Teguran saya kepada akhbar vernakular dan Malaysiakini, cukup-cukuplah mengapi-apikan keraguan terhadap orang Melayu Islam dan kebencian terhadap apa saja inisiatif yang dibuat untuk merapatkan rakyat negara kita,”  – Datuk Dr Hussamuddin Yaacub 

Buletin TTKM difahamkan bahawa langganan portal Malaysiakini jatuh mendadak semenjak Pakatan Harapan memenangi PRU 14 lepas. Semenjak dari itu, portal terbabit semakin kerap melaporkan isu berkenaan kaum dan agama dengan tajuk ‘clickbait’ berunsur sensasi.

Pada 13 Mei lepas, portal terbabit menukar tajuk beritanya selepas dikecam netizen kerana berunsur perkauman.

Ketika spekulasi Utusan Malaysia berkemungkinan ditutup, pembantu editor Malaysiakini, Aidila Razak ditanya dimanakah pembaca Utusan akan mendapatkan bahan berita selepas itu.

Beliau menjawab :

“Saya rasa kebanyakan telah berhijrah ke Buletin TTKM dan seumpamanya” – Aidila Razak.

-Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copyright © All rights reserved. Newsphere by AF themes.
RSS
Follow by Email
Facebook
Twitter
%d bloggers like this: