Lagi penjualan : Khazanah akan jual semua kepentingan dalam lebuh raya bertol di Indonesia

Kuala Lumpur : Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) akan menjual keseluruhan kepentingannya dalam lebuh raya bertol Cikopo-Palimanan (Cipali), satu daripada lebuh raya bertol terpanjang di Indonesia kepada Canada Pension Plan Investment Board (CPPIB).

Bernama melaporkan CPPIB dan rakan kongsinya, PT Baskhara Utama Sedaya (BUS), akan bersama-sama mengambil alih 55 peratus kepentingan dalam PT Lintas Marga Sedaya (LMS), ketika ini dipegang oleh PLUS Expressways International Bhd – anak syarikat UEM Group, yang kesudahannya menjadi milik penuh Khazanah, menurut dana pencen Kanada itu.

LMS ialah pemegang konsesi dan pengendali lebuh raya bertol Cipali.

Dalam kenyataannya, CPPIB berkata transaksi berkenaan dijangka selesai pada suku keempat tahun ini, tertakluk kepada syarat penutupan biasa, termasuk kelulusan pengawalseliaan.

Sepanjang 117km, lebuh raya bertol Cipali adalah lebuh raya bertol terpanjang yang beroperasi di Indonesia dan merupakan hubungan penting dalam rangkaian pengangkutan di Pulau Jawa, dan sebahagian daripada rangkaian Lebuhraya Bertol Trans Jawa.

Terdahulu, Khazanah Nasional Bhd menjual 100 peratus kepentingannya dalam Prince Court Medical Centre Sdn Bhd (PCMC), yang mengendalikan kemudahan penjagaan kesihatan di Segitiga Emas Kuala Lumpur, kepada IHH Healthcare Bhd dengan harga RM1.02 bilion secara tunai.

Anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, Pulau Memutik Venture Sdn Bhd, tiga hari lepas menandatangani perjanjian bersyarat untuk menjual PCMC kepada unit tidak langsung IHH, Pantai Holdings Sdn Bhd.

Pada tahun lepas, Tun Dr Mahathir Mohamad  yang juga pengerusi Khazanah ketika diwawancara dengan The Malaysian Reserve mengatakan kerajaan dalam perancangan untuk melepaskan kepentingannya dalam syarikat untuk “menampung hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.”

Tambah beliau lagi, pentadbiran beliau kini sedang menilai syarikat yang dipunyai secara langsung oleh GLIC seperti Khazanah.

“Kami akan melihat syarikat-syarikat yang berbeza. Sesetengah syarikat saya fikir kita mempunyai beberapa saham yang boleh kita jual. Ada yang boleh dimiliki sepenuhnya oleh Khazanah, kita boleh melupuskan beberapa peratusan. Dan sesetengah, tentu saja, kita akan menarik diri dan menjual syarikat itu atau pun aset syarikat itu, Kami mempunyai beberapa pelaburan dalam projek Iskandar (Malaysia) ini. Kami juga mempunyai beberapa hartanah di Singapura dan terdapat beberapa syarikat lain” – Tun Dr Mahathir Mohamad

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melantik dirinya sendiri sebagai pengerusi Khazanah Nasional Berhad selepas peletakan jawatan beramai-ramai ahli lembaga pengarahnya pada tahun lepas.  -Buletin TTKM-

Pelantikan Tun Dr Mahahtir sebagai pengerusi Khazanah diumumkan oleh pejabat beliau sendiri.

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.