PH kalah perang persepsi, sokongan melayu rapuh, isu kleptokrasi Najib lapuk dan basi – Ilham Centre

Ole; : Panel Penyelidikan, ILHAM Centre

Trend Melayu | Ringkasan ulasan pola sokongan Melayu pasca setahun PH vs Peluang UMNO – PAS

Dalam 1 setahun ini #TeamILHAM baru sahaja selesai fasa kedua meneliti pola (trend) pengundian Melayu seluruh semenanjung Malaysia.
.
Fasa ketiga pasca setahun baru sahaja bermula termasuk melakukan pre-mortem pasca Pilihan Raya Umum (PRU14) dan tahap sokongan Melayu kepada kerajaan baru PH. Baru sudah kajian dan observasi di Johor, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan minggu hadapan ini bergerak ke Kelantan, Terengganu kemudian ke Pahang dan seterusnya.
.
Pola sokongan Melayu tetap berbeda mengikut wilayah, lokaliti, kaum, umur dan jantina. Setengah tempat identifikasi parti lebih signifikan berbanding yang lain begitu juga sebaliknya bila diolah pada umur dan isu. Ia begitu rencam dan beragam.
.
Secara fakta, umum mengetahui bahawa pengundian Melayu ke atas PH tidak ‘genuine’ atas nama perubahan berbanding skala besar ditunjukkan pada penolakan terhadap isu kleptokrasi dan protes kepada Najib Razak. Ia dapat diterjemah pada keputusan PRU lalu, sokongan Melayu kepada PH hanya sekitar 23% berbanding BN 45% dan PAS 32%.
.
4 faktor penting yang kami senaraikan punca utama kekalahan UMNO – BN pada pilihanraya lepas ialah;
1. Pertembungan 3 penjuru
2. Penolakan kepada Najib Razak
3. Isu GST, 1MDB, isu sara hidup, Rosmah dll
4. Fenomena Tun Mahathir dan kesepakatan PH

70868325_2450345788412839_7711721459093078016_n (1).jpg
.
Setengah wilayah/Negeri faktor Tun tidak ‘reliable’ kerana Tun hanya dianggap sebagai pemangkin dan pelengkap penolakan. Protes jelas dilihat tetapi bagi pengundi Melayu dikawasan pedalaman tidak berganjak dan sekalipun dikesan bertukar undi tetapi tidak mengubah parti. Dalam pemerhatian terkini situasi ini seolah tidak berganjak malah berpihak kembali kepada pembangkang terutama atas lambakan isu yang gagal ditangani oleh kerajaan PH ketika ini.
.
Pola orang muda yang pada awalnya sedikit berpihak kepada PH kini berubah. Pada orang muda menunaikan manifesto secara berperingkat-peringkat lebih utama kerana ia bersifat objektif (boleh dinilai) berbanding berbicara pada garis halus perkauman, sensitiviti Agama dan hak Melayu yang lebih dilihat subjektif. Apapun pada kondisi terkini sokongan orang muda terpecah kepada beberapa segmen dan dikesan tidak cenderung PH. Ditambah lagi dengan isu undi 18 yang masih kabur. Tiada mana parti yang boleh mengklaim bahawa pengundi kali pertama (first time voters) adalah milik mereka. Setiap parti terpaksa berkerja keras untuk menambat hati segmen pengundi ini.
.
Terlalu banyak dapatan yang menarik dan luar jangka. Isu kleptokrasi Najib Razak tidak lagi signifikan dan ‘basi’ malah lapuk pada pengundi. Segelintir rakyat sangsi adakah benar Najib bersalah atau difitnah sedangkan perbicaraan masih kekal berjalan. Prestasi dan reputasi PH antara sisi yang paling kritikal dinilai oleh pengundi terutama keupayaan menunaikan janji manifesto dan keghairahan melakukan perubahan tetapi pada perkara yang tidak penting sehingga dilihat merugikan Islam dan Melayu.

Keseriusan kerajaan PH membela Melayu-Islam dipertikai saban hari malah menjadi senjata paling ampuh untuk membangkitkan amarah rakyat terbanyak atas nama perkauman dan Agama. Selain itu, ketidaksepakatan dan pertelingkahan dalaman parti komponen PH (PKR) turut sama menyumbang kepada penurunan keyakinan dan sokongan Melayu ini.
.
Pasca 1 tahun 4 bulan dan setelah melalui beberapa siri PRK dan disertai dengan lambakan isu yang dilihat gagal diurus oleh PH meletakkan PH dalam kondisi ‘tegang’ untuk terus meraih kepercayaan orang Melayu di masa hadapan.

Realiti dilapangan, PH masih belum menguasai undi Melayu dan penerimaan Melayu kepada PH adalah terlalu minima dan begitu ‘fragile’. Tidak dapat dinafi, bahawa penyatuan UMNO-PAS menunjukkan impak dengan rentetan isu Melayu-Islam yang melatari sehingga mengheret kepada gabungan ini ia mula boleh diterima umum. Walaupun masih terlalu awal dan tidak bisa diukur secara kolektif, sekiranya PH tidak bertindak balas dengan kadar segera maka gabungan ini akan mampu menyaingi kerana isu-isu sedia ada waktu ini berpihak dan positif kepada pembangkang.

Namun begitu, masih banyak teknikal dan operasional yang perlu diselesaikan bagi merealisasikan piagam yang dimeterai ini contohnya, pembahagian negeri antara UMNO-PAS, kerusi-kerusi yang ingin ditandingi secara seimbang dan adil, fokus isu secara realiti yang ingin diperjuangkan walau terma telah dipersetujui dalam piagam ini. Hakikatnya, naratif Melayu-Islam menjadi sandaran kepada kerjasama ini tetapi adakah isu atas nama perkauman dan Agama ini kekal menjadi relevan dan signifikan menjelang PRU 15 akan datang dan dalam konteks Malaysia Baru?

Di alam maya dan media konvensional pula, kerajaan PH kekal kalah dalam menguruskan persepsi dan menunjukkan reaksi balas yang boleh diyakini secara fakta. Pun demikian, PH masih punya masa dan kelebihan sekiranya perhatian serius dan reaksi balas kepada isu Melayu-Islam menjadi lebih efektif disamping ekonomi berjaya dipulihkan dalam masa terdekat seiring dengan visi kemakmuran yang telah dilancarkan oleh PH.

Panel Penyelidikan
ILHAM Centre

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.