Tue. Oct 15th, 2019

Buletin TTKM

BERSANDAR FAKTA, BERCORAK SANTAI

Khazanah jual aset untuk bayar hutang tinggalan Najib – Tun Mahathir

2 min read

Kuala Lumpur, 20 Sept: KHAZANAH Nasional Bhd menjual aset untuk membantu kerajaan melunaskan hutang yang terkumpul semasa pentadbiran kerajaan terdahulu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, hutang berjumlah lebih RM1 trilion itu menjadi beban kerana wang berkenaan tidak dapat ditemui kerana “dicuri dan disembunyikan”, lapor The Malaysian Insight. 

“Apa yang tak bermanfaat pada kita, kita akan jual untuk raih dana untuk bayar hutang. Anda perlu ingat, kerajaan terdahulu pinjam lebih RM1 trilion dan ia menjadi beban kepada kita.

Sebabnya mereka pinjam dan wang itu tidak dilaburkan. Ia disembunyikan, ia dicuri. Jika wang itu dilaburkan, kita boleh perlu ke mana-mana syarikat itu untuk dapatkan semula wang tetapi kita tidak tahu di mana wang tersebut.

“Jadi pada masa ini, kita perlu bayar daripada cukai atau kita jual aset untuk bayar hutang,”  – Tun Dr Mahathir.

Ditanya sekiranya kerajaan akan menjual pegangan dalam Malaysia Airports Bhd seperti dilaporkan media, Dr Mahathir berkata perkara itu masih dalam kajian.

“Kita cuma mengkaji tetapi tiada keputusan dibuat,” – Tun Dr Mahathir.

Langkah kerajaan mencairkan aset Khazanah itu dikritik bekas perdana menteri Najib Razak  termasuk yang  terbaru melibatkan kepentingan dalam syarikat pengendali jalan tol di Indonesia bernilai RM2.081 bilion.

Menurut Najib, nilai aset bersih Khazanah naik dari RM33.7 bilion pada tahun 2008 ke RM115.6 bilion pada akhir tahun 2017 iaitu ketika beliau menjadi perdana menteri.

“Kita tanggung beban yang ditinggalkan oleh Najib. Dan sekarang dia cakap banyak. Ini semua kita terpaksa tanggung termasuk pembelian kapal dari China.

“Ianya tindakan yang bodoh tetapi Najib mengata diri dia sendiri sebab dia yang beli kapal itu, bukan saya,” – Tun Dr Mahathir. 

Sebelum itu, Najib mendakwa hutang rasmi negara  tidak berkurangan semenjak PH menjadi kerajaan sebaliknya meningkat hingga RM800.8 bilion berbanding RM686.8 bilion pada akhir tahun 2017 di bawah pemerintahan Barisan Nasional.

Selepas memenangi PRU 14 lepas, kerajaan PH memainkan propaganda hutang negara melebihi RM1 trillion dengan menambah komitmen seperti pembayaran pajakan dan bayaran penyelenggaraan terhadap hutang kerajaan dan liabiliti luar jangka.

Alasan itu kemudian digunakan sebagai sebab tidak dapat menunaikan manifesto PRU 14 PH termasuklah menghapuskan tol dan penangguhan pembayaran pinjaman PTPTN – Buletin TTKM.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copyright © All rights reserved. Newsphere by AF themes.
RSS
Follow by Email
Facebook
Twitter
%d bloggers like this: