Jangan lepaskan menteri dan Exco pencetus kemarahan – Pemuda MCA

Pagi tadi, Mahkamah Koroner Shah Alam telah memutuskan punca kematian arwah Adib disebabkan impak perbuatan jenayah oleh dua atau lebih orang tidak dikenali.

Rayuan seluruh rakyat Malaysia menuntut keadilan untuk Adib yang terkorban semasa menjalankan tugas, akhirnya terjawab hari ini.

Namun, ini tidak bermakna keadilan untuk arwah telah terbela, selagi si pelaku yang terbabit tidak dihadapkan ke muka pengadilan.

Sekarang, Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police ) dan Peguam Negara mesti bertindak pantas untuk melakukan siasatan, mengheret mereka-mereka yang terbabit dan menjalankan pendakwaan.

Dalam pada itu, walaupun Mahkamah Koroner dalam membuat keputusan di atas telah merumuskan bahawa kegagalan polis dan FRU dalam mengawal rusuhan turut menyumbang kepada kematian arwah Adib, tetapi jangan sesekali kita lupa siapakah mereka yang sebenarnya menyebabkan tragedi ini bertambah serius dengan kenyataan mereka yang cuba mengaitkan insiden di Kuil Sri Maha Mariamman itu dengan isu perkauman.

Akibat daripada status facebook yang dimuat naik oleh seorang Exco Selangor yang mendakwa serangan ke atas Kuil dilakukan oleh orang Islam, ditambah dengan kenyataan bertulis empat orang Menteri yang menyalahkan PDRM yang didakwa gagal menangani insiden rusuhan pada malam pertama, telah membangkitkan kemarahan kaum India yang keluar beramai-ramai pada malam kedua dengan melakukan rusuhan, mencedera dan seterusnya menyebabkan kematian arwah yang tidak berdosa.

Ya, memang senang kita menuding jari ke atas pihak polis, tetapi bagaimana dengan Menteri-menteri dan EXCO yang cuba meraih sokongan kaum sendiri dengan mempermainkan sentimen perkauman, seterusnya mencetus kemarahan orang ramai dan menyebabkan kematian arwah?

Ataupun mereka akan dilepaskan begitu sahaja?

Oleh:
Mike Chong Yew Chuan
Jurucakap MCA
AJK Pusat Pemuda MCA
Ketua Pemuda MCA Wangsa Maju


Artikel ini adalah pandangan peribadi Penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian TTKM. – Editor

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.