April 18, 2021

Buletin TTKM

BERSANDAR FAKTA, BERCORAK SANTAI

LTAT umum dividen 2%, terendah dalam sejarah

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan dividen dua peratus untuk ahlinya bagi tahun kewangan berakhir 2018, dengan jumlah agihan RM161.2 juta.

Dividen berkenaan akan diagihkan pada ahli, minggu ini.

Berita Harian memetik Pengerusi LTAT, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin sebagai berkata pendapatan bersih (belum diaudit) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 bagi LTAT adalah RM221 juta.

Katanya, ia adalah penurunan ketara sebanyak 51.9 peratus berbanding pendapatan bersih yang dinyatakan semula sebanyak RM459.5 bagi tahun kewangan 2017.

“Penurunan ketara pendapatan LTAT bagi tahun kewangan 2018 disebabkan pelbagai faktor sejak dua tahun kewangan lalu,” – Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Nik Amlizan Mohamed.

Mohd Zahidi berkata, LTAT kini berada di bawah pengurusan baharu dan percaya pelan transformasi akan meletakkan LTAT dalam kedudukan yang lebih baik bagi memanfaatkan peluang pelaburan yang menguntungkan, seterusnya memberikan nilai terbaik kepada ahli.

Sementara itu, Nik Amlizan berkata, LTAT sudah memulakan pelan transformasi bagi tempoh lima tahun merangkumi enam teras utama.

Katanya, enam teras itu adalah visi dan misi baharu, memperkukuh tadbir urus korporat, mempertingkat pengurusan pemegang berkepentingan strategik, meningkatkan pulangan pelaburan yang mampan, memperbaiki infrastruktur dan membina pengurusan bakat.

Pada tahun lalu, LTAT mengumumkan dividen sebanyak 12.5 peratus untuk ahlinya. Bagaimanapun, dividen itu dilaporkan berlebihan berbanding pendapatan yang diperoleh lembaga itu.

Khamis lalu, laporan audit oleh firma audit Ernst & Young (EY) ke atas LTAT mendapati wujud pelbagai ketidakpatuhan dan kelemahan tadbir urus kewangan dalam lembaga itu.

LTAT dalam kenyataannya berkata, EY yang menjalankan semakan dan menentukan gambaran kedudukan sebenar LTAT bagi tahun kewangan (TK) berakhir 31 Disember 2017 dan 31 Disember 2018, menyatakan terdapat tujuh aspek ketidakpatuhan dan kelemahan tadbir urus kewangan yang ketara.

Untuk rekod, dividen LTAT pada tahun 2015 adalah 12% di mana menurut Rafizi Ramli, 6% adalah dividen yang wajib dibayar kepada semua pencarum manakala 6% lagi adalah onus  dalam bentuk unit amanah.

Ketika itu, Rafizi Ramli mengutuk LTAT dengan mengatakan ia terendah dalam sejarah sejak 1973.

“Saya telah semak rekod dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sejak ia mula dilaporkan iaitu tahun 1973.

Dividen 6% yang diumumkan bagi tahun kewangan 2015 adalah yang paling rendah sejak 1973. Walaupun ekonomi negara menguncup dalam tahun-tahun krisis ekonomi 1985-87 dan 1997-1998 dividen yang diumumkan bagi tahun-tahun itu adalah lebih tinggi dari 6%.

Saya mengutuk tindakan LTAT terutamanya Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Kewangan yang cuba memberi gambaran bahawa prestasi LTAT adalah baik dengan mengaitkan jumlah dividen itu sebagai bukti bahawa dakwaan saya sebelum ini mengenai kelewatan pembayaran caruman pencen bekas anggota tentera adalah lambat.” – Rafizi Ramli.

Walau bagaimanapun, hasil semakan di laman facebook Rafizi hari ini  mendapati tiada sebarang kenyataan dari Rafizi walaupun dividen yang diumumkan adalah terendah dalam sejarah.

Hantaran terbaru beliau adalah pada 23 September mengenai iklan jawatan kosong di portal pencarian kerja, Adnexio yang dimiliki oleh Invoke Solution Sdn Bhd, di mana Rafizi Ramli merupakan pemegang saham terbesar.  -Buletin TTKM-

 

 

RSS
Follow by Email
%d bloggers like this: