Hina sultan : Bukit Aman terima laporan ke atas Nga

Kuala Lumpur 2 Okt: Bukit aman mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat ke atas timbalan speaker dewan rakyat merangkap ahli parlimen DAP Teluk Intan, Nga Kor Ming.

The Malaysian Insight melaporkan Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor sebagai berkata siasatan ke atas kes tulisan di Facebook tersebut masih di peringkat awal.

“Ada laporan dibuat di Shah Alam semalam. Kita siasat dahulu, tengok macam mana. Biarlah kita lihat dari semua sudut dahulu. Saya tidak komen di peringkat ini,” – Mazlan Mansor

Siasatan tersebut adalah berhubung hantaran di laman Facebook ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ dalam tulisan Cina berkenaan  isu penggunaan papan tanda jalan dwi-bahasa di Selangor yang  menyeru kaum Cina menyuarakan bantahan ke atas “seorang Melayu”, dipercayai merujuk Sultan Selangor yang pada tahun lepas menitahkan supaya semua papan tanda nama jalan bertulisan Cina di daerah ini ditanggalkan dan diganti serta merta.

Tulisan di laman Facebook didakwa milik Nga itu menyebut, “seorang Melayu” itu tidak akan tahu mengenai bantahan melainkan ia disuarakan secara bertentangan muka.

“Tanda jalan dwi-bahasa sesungguhnya telah menarik perhatian ketidakpuasan hati sekurang-kurangnya oleh seorang Melayu. Orang Melayu inilah yang mengarahkan kerajaan untuk menurunkan tanda jalan dwi-bahasa.

“Jika mana-mana orang Cina yang tidak berpuas hati, silakan bertentangan muka dengan orang Melayu ini bagi menunjukkan bantahan.

“Orang Cina marahkan kerajaan tak ada maknanya kerana orang Melayu ini tidak tahu yang ada tidak berpuas hati,”  – Terjemahan hantaran. 

Menurut The Malaysian Insight lagi, mereka difahamkan laporan tersebut dibuat oleh pengiring Sultan Selangor atas arahan baginda di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam pagi ini.

Terdahulu, bekas perdana menteri Najib Razak menyarankan kerajaan mengambil tindakan terhadap Nga kerana didakwa menghasut warga Cina untuk membenci Sultan Selangor melalui tulisan itu.

Beliau menaikkan hantaran tersebut kelmarin.

“Kerajaan PH patut mengambil tindakan terhadap Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming kerana dia telah menghasut warga Cina untuk membenci Sultan Selangor.
Posting FB mereka kata jangan salahkan kerajaan PH jika mereka tidak membenarkan papan tanda jalan dwibahasa kerana ianya keputusan Sultan Selangor.
DAP mengajak orang Cina yang tidak puas hati dengan keputusan itu untuk membantah di depanmuka Sultan Selangor.Saya harap kaum Cina tidak termakan hasutan DAP.
DAP mesti berhenti menghasut dengan memainkan isu perkauman” – Najib Razak 

Sementara itu, Nga Kor Ming menafikan tuduhan itu dan mendakwa laman Facebook dengan nama ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ dalam bahasa Cina itu tidak dikendalikan olehnya atau DAP. Tambahnya lagi, hantaran tersebut adalah dari laman facebook lain yang bernama “Ju Xi Wan Yak” . Pengerusi DAP itu turut menasihatkan Najib supaya bertaubat.

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10214839899214441&set=pcb.10214839904614576&type=3&theater

“Posting FB yang dirujuk oleh Najib hari ini merupakan page yang menyamar diri mengguna nama “ Nga Kor Ming Super Fans Page” tetapi ia bukan dari saya ataupun DAP.

Setelah cuba dibuat carian atas talian, telah didapati bahawa posting yang dirujuk oleh Najib itu sebenarnya adalah dari satu page bernama “ Ju Xi Wan Yak” ( dalam bahasa Mandarin ), ia langsung tiada apa-apa kaitan dengan saya mahupun DAP. Terbukti Najib telah menipu sekali lagi.

Saya nasihatkan Dato Seri Najib supaya bertaubat segera dan kembali ke pangkuan jalan jika masih belum terlambat. Jangan lagi cuba menggunakan taktik kotor berulang kali untuk cuba mencemar reputasi baik saya & parti DAP.” – Nga Kor Ming.

Walau bagaimanapun, Najib kemudian menunjukkan bukti bahawa laman  Facebook tersebut sememangnya milik Nga sejak tahun 2009 lagi dengan menunjukkan sejarah laman (page history) facebook tersebut yang menukarkan namanya beberapa kali.

Terkini, Najib menyindir Nga berhubung laporan polis tersebut.

“Nga Kor Ming belum sempat nak lapor polis terhadap saya, tetapi pihak DYMM Sultan Selangor sudah lapor polis terhadap Nga atas isu yang sama”  – Najib Razak.

-Buletin TTKM-

 

 

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.