KUALA LUMPUR, 5 Okt: Kerajaan mungkin akan memperkenalkan cukai baru dalam usaha meningkatkan hasil negara, kata Dr Mahathir Mohamad.
Jelas perdana menteri, cukai baru itu tidak akan membebankan rakyat dan ia dilaksanakan secara lebih efisyen, lapor Free Malaysia Today.
“Kita mungkin terpaksa memperkenalkan cukai baru yang tidak terlalu membebankan rakyat,” – Dr Mahathir Mohamad.
Tambah beliau lagi, sistem yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini tidak tertib dan banyak pihak terlepas daripada membayar cukai.
“Dulu kita tidak mengenakan dengan cara yang tertib tersusun dan banyak orang terlepas daripada membayar cukai.
“Kita akan memperkemaskan lagi dan kita akan ada agensi (membuat kutipan), termasuk cukai pendapatan umpamanya akan diperkemas juga,” – Tun Dr Mahathir.
Mahathir berkata demikian sebagai mengulas inisiatif baru untuk meningkatkan hasil serta menambah baik pemantauan cukai, meningkatkan kecekapan cukai dan memperluas asas cukai yang terkandung dalam WKB2030.
Sebelum ini Mahathir memberi bayangan untuk mengembalikan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) selepas didesak beberapa pihak menjelang pengumuman Belanjawan 2020 minggu hadapan.
“Kalau rakyat percaya GST lebih baik, kita akan kaji. Kalau itu kehendak rakyat, kita akan kaji sama ada GST lebih baik daripada SST (cukai jualan dan perkhidmatan),” – Tun Dr Mahathir.
Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mencadangkan supaya GST diperkenalkan semula pada kadar lebih rendah tiga peratus dalam Belanjawan 2020.
Pengerusinya Kamal Salih berkata, GST lebih baik dan membantu kewangan kerajaan ketika harga minyak jatuh ke bawah AS$36 pada 2015.
Pada 13 Sep, menteri kewangan, Lim Guan Eng berkata kerajaan tidak akan mengembalikan GST.
“Kita hapuskan GST bulan Jun tahun lepas, dan tiada sebarang rancangan untuk mengembalikannya” – Lim Guan Eng.
Pada 24 Julai, timbalan menteri kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata kerajaan diunjuran kutipan SST tahun ini adalah RM22 bilion.
Sekiranya ia dapat dicapai, jumlah tersebut hanyalah separuh dari kutipan RM44 bilion yang diperoleh oleh kerajaan Barisan Nasional pada 2017.
Pada 8 Ogos 2017, Tony Pua (Damansara), setiausaha politik menteri kewangan berkata GST 6% yang dilaksanakan akan menjadikan harga barang lebih murah.
“Saya percaya, sistem cukai SST yang baru ini, walaupun cukai akan dikenakan, tetapi harga barang akan lebih murah daripada bila sistem GST (dulu)” – Tony Pua.
Walaubagaimanapun, setelah lebih setahun SST diperkenalkan semula menggantikan GST, harga barang kebanyakannya tidak turun, sebaliknya menjadi lebih mahal dari kebiasaan. – Buletin TTKM-