PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tiada keperluan untuk menilai semula kedudukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy dalam Kabinet.
“Saya tak nampak ada masalah. Jadi Waytha Moorthy ni saya boleh simpan dia sebagai menteri,” – Tun Dr Mahathir Mohamad
Pada 3 Januari lalu, Dr Mahathir dilaporkan akan membuat keputusan mengenai kedudukan Waytha sebagai menteri selepas menerima laporan penuh inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
“Bagi saya, sebagai pegawai kerajaan, saya berada dalam sistem kerajaan, dan sebagai perdana menteri, saya hanya boleh membuat kenyataan selepas melihat keputusan siasatan penuh, sebab ini adalah sangat serius, menyebabkan pergaduhan di antara melayu dan india, ini bukan perkara yang elok. Saya akan membuat keputusan selepas menerima bukti dari semua pihak. “ – Tun Dr Mahathir Mohamad
Sebelum ini pelbagai pihak menggesa Waytha dilucutkan jawatan sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap perpaduan dan integriti nasional berikutan mengeluarkan kenyataan agar tindakan disiplin dikenakan terhadap anggota polis daerah Subang Jaya susulan isu rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 Subang Jaya pada November tahun lalu.
Kenyataan beliau itu didakwa telah menyumbang kepada ketegangan yang membawa kepada rusuhan kedua di kuil tersebut pada 27 November tahun lepas.
“Kami dimaklumkan pada jam 2.30 pagi, sekumpulan 50 orang bersenjatakan batang besi dan parang masuk ke kuil di Seafield dan menyerang orang di dalamnya termasuk wanita.
Difahamkan, ramai yang cedera dan beberapa kenderaan dibakar, selain lima penganut dalam kuil itu dijadikan tebusan sebelum mereka melarikan diri dan mendapat kad pengenalan beberapa individu kumpulan penyerang.
“Persoalannya, mengapa hanya satu kereta peronda Polis Daerah Subang Jaya di tempat kejadian pada jam 4.15 pagi manakala FRU tiba jam 6 pagi,” – Waytha Moorthy
Jumaat lalu, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat daripada tindakan jenayah sekumpulan individu yang tidak dikenali.
Koroner Rofiah Mohamad dalam keputusannya berkata, Muhammad Adib dipukul sekumpulan orang India ketika bertugas memadamkan kebakaran dalam rusuhan tersebut.
Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan JPBM Subang Jaya parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat. -Buletin TTKM-