Laman FB Nga Kor Ming Super Fans Club dinyahaktif

Facebook, 9 Okt: Laman facebook Nga Kor Ming Super Fans Club yang mencetuskan kontroversi kerana menaikkan hantaran yang didakwa menghina Sultan Selangor, kini tidak lagi  dapat diakses dipercayai dinyahaktif.

URL laman FB Nga Kor Ming Super Fans Club: https://www.facebook.com/NgaKorMingsuperfansclub

Buletin TTKM mendapati admin laman tersebut mengambil langkah itu selepas beberapa ketika ahli parlimen DAP Teluk Intan, Nga Kor Ming hadir ke Bukit Aman untuk memberikan keterangan berhubung isu terbabit semalam.

Kehadiran Kor Ming itu berhubung satu kertas siasatan dibuka polis mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan selepas satu laporan dibuat pengiring Sultan Selangor di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam pada 1 Oktober lalu.

Laporan itu susulan status menghasut dikeluarkan akaun Facebook (FB) Nga Kor Ming Super Fans Page pada 29 September yang mengajak pengikut akaun itu untuk melakukan bantahan terhadap Sultan Selangor susulan penggunaan papan tanda dwi bahasa.

Kenyataan itu mengajak orang ramai untuk membenci Sultan Selangor susulan arahan baginda supaya mengarahkan papan tanda jalan di Shah Alam yang menggunakan tulisan Cina digantikan dengan papan tanda jalan menggunakan bahasa Malaysia.

Bagaimanapun, Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan sebelum ini menafikan mempunyai kaitan dengan akaun FB terbabit.

Isu terbabit pertama kalinya dibangkitkan oleh bekas perdana menteri Dato Seri Najib Razak melalui laman facebooknya pada 5 Oktober lepas. Tidak lama selepas itu, laman facebook Nga Kor Ming Super Fans Club   tealah memadamkan hantaran itu.

Najib mendakwa laman tersebut adalah milik Nga Kor Ming dengan memberikan bukti ‘page history’ dan kes mahkamah pada tahun 2016 yang berakhir dengan Nga Kor Ming meminta maaf kerana menaikkan hantaran berbaur fitnah di laman facebook terbabit.

“Oleh itu saya menyatakan kekesalan yang mendalam kerana gambar tersebut telah disalah tafsir dan diambil di luar konteks. Demi kebaikan, dengan ini saya menarik balik ulasan berkaitan gambar tersebut dan memberi aku janji tidak menyiarkannya semula pada masa akan datang,” – Kenyataan Nga Kor Ming, 17 Mei 2016.

Nga Kor Ming semalam mengeluarkan kenyataan mendesak pula laman facebook Najib Razak disiasat kerana didakwa “menyebarkan berita palsu dan melalukan fitnah jenayah di bawah kanun keseksaan”.

Kenyataan beliau itu yang diakhiri dengan nama dan jawatannya sebagai timbalan speaker dewan rakyat,  mengandungi pelbagai kesalahan tatabahasa dan turut ditroll di laman facebook TTKM.

“Saya menggesa Bukit Aman untuk menyiasat ‘Najib Razak Page’ yang telah pun saya dapati membuat naik berita palsu untuk cuba melakukan fitnah jenayah dan saya yakin dimana keadilan dan kebenaran akan ditegakkan sekian terima kasih,” – Nga Kor Ming.

Sementara itu, Najib Razak berterusan ‘mencucuk’ Nga dengan meminta beliau untuk membuat kenyataan mengecam Istana Selangor sekiranya apa yang dilaporkannya adalah fitnah. Ini kerana menurut Najib,  laporan polis yang dibuat terhadap ahli parlimen DAP itu dilakukan oleh pihak istana. dan bukannya beliau.

“Baiklah.. Dia tuduh saya fitnah dia.Tapi… yang membuat laporan polis terhadap Nga Kor Ming dan “Nga Kor Ming superfans” itu adalah pihak istana Selangor yang mengikut arahan DYMM Sultan Selangor. Jika saya fitnah Kor Ming, adakah ini bermakna Istana Selangor juga telah membuat laporan polis palsu dan juga telah memfitnah Kor Ming? Kor Ming tak mahu buat laporan palsu atau mengeluarkan kenyataan akhbar untuk mengecam Istana Selangor ke?Tunggu apa lagi?” – Najib Razak.

Pada perkembangan yang sama, Malaysiakini melaporkan polis akan memanggil bekas perdana menteri Najib Razak susulan laporan yang difailkan terhadapnya oleh setiausaha kepada Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berhubung dakwaan membuat hantaran palsu dalam talian.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang D5, Jabatan Siasatan jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid memaklumkan anggota parlimen Pekan itu akan dipanggil dalam masa yang terdekat.

“Ya, kami akan merakamkan kenyataannya ..ia akan dilakukan dalam masa terdekat tetapi kami belum menetapkan tarikh,” – Mior Faridalatrash Wahid

-Buletin TTKM-

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.