Tue. Oct 15th, 2019

Buletin TTKM

BERSANDAR FAKTA, BERCORAK SANTAI

LTTE: 2 Adun DAP antara 3 ditahan

2 min read

PETALING JAYA: Polis hari ini menahan tiga lelaki termasuk dua ahli Dewan Undangan Negeri DAP dari Melaka dan Negeri Sembilan, dipercayai ada hubungan dengan kumpulan pengganas Sri Lanka.

Dua wakil rakyat tersebut adalah G Saminathan, yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka ditahan di pejabatnya di Seri Melaka, manakala Adun Seremban Jaya, P Gunasekaren, ditahan oleh pegawai Bukit Aman pagi ini di Negeri Sembilan, bersama seorang pemimpin NGO India dari Perak.

Buletin TTKM menyemak akaun facebook G Saminathan yang juga merupakan ketua pemuda DAPSY Melaka itu dan mendapati beliau pernah menukar gambar profilnya dengan logo LTTE pada tahun 2014 dan 2013.

 

Mereka dipercayai disiasat kerana didakwa ada hubungan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kumpulan pemisah yang terlibat dalam perang saudara lebih tiga dekad di Sri Lanka.

Timbalan ketua menteri Pulau Pinang, P Ramasamy ketika dihubungi FMT mengesahkan penahanan itu.

“Kami diberitahu mereka ditahan berhubung sambutan majlis ‘hari pahlawan’ yang mereka hadiri tahun lepas,” Ramasamy.

Sementara itu Ketua Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas Ayob Khan Mydin Pitchay berkata satu kenyataan akan dikeluarkan kemudian.

Pada perkembangan yang sama, Naib Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Teo Kok Seong, berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya itu ditahan pada jam 9.58 pagi di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, berkata pihak polis bagaimanapun tidak menjelaskan sebab tangkapan itu.

“Saya dimaklumkan bahawa YB (Gunasekaran) ditahan di rumahnya pagi tadi sebelum beliau dibawa ke pejabatnya di sini (Seremban Jaya) sebelum anggota polis membawanya ke Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

“DAP Negeri Sembilan terkejut dengan tangkapan ini kerana beliau adalah seroang wakil rakyat yang dihormati masyarakat setempat. Kita juga tidak dimaklumkan tujuan tangkapan itu.

“Kita meminta supaya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjelaskan perkara ini dan berharap Gunasekaran akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis,”  – Teo Kok Seong

LTTE yang diketuai V. Prabhakaran mencetuskan pemberontakan pemisah untuk mewujudkan wilayah autonomi Tamil Eelam, utara Sri Lanka apabila golongan majoriti Sinhala didakwa menindas masyarakat minoriti Tamil.

Kempen keganasan LTTE menerima sokongan moral dan pembiayaan daripada ramai pihak termasuk diaspora Tamil yang bersimpati dengan nasib masyarakat Tamil di negara itu.

Pertubuhan itu, yang kini dilaporkan tidak aktif selepas Prabhakaram terbunuh dalam operasi  besar-besaran ketenteraan kerajaan Sri Lanka, pernah disenaraikan sebagai kumpulan pengganas dan diharamkan di lebih 30 negara termasuk di Malaysia. -Buletin TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copyright © All rights reserved. Newsphere by AF themes.
RSS
Follow by Email
Facebook
Twitter
%d bloggers like this: